amree14/10/2026 - 11:00 Gambar kredit High Level Photography Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Okt — Battersea Power Station memperoleh pembiayaan semula sebanyak £280 juta (kira-kira RM1.5 bilion) daripada empat institusi perbankan, sekali gus memperkukuh kedudukan kewangan projek pembangunan di London, Britain itu meneruskan fasa seterusnya.
Kemudahan pinjaman tersebut disediakan oleh CIMB, OCBC, Maybank dan Standard Chartered, yang turut mencerminkan keyakinan secara berterusan pemberi pinjaman terhadap kemajuan pembangunan seluas 16.9 hektar berkenaan, dengan turut disokong pelaburan pemegang saham Malaysia.
Battersea Power Station Development Company dalam kenyataan berkata, pembiayaan itu akan menyokong pembangunan baki 6.5 hektar tanah yang belum dibangunkan, susulan penyerahan pelan induk baharu yang dicadangkan bagi melengkapkan kawasan kejiranan tepi sungai berkenaan.
"Pelan induk yang direka oleh Studio Egret West itu mencadangkan pembangunan ruang kediaman, komersial dan rekreasi sehingga 0.29 juta meter persegi, sekali gus berpotensi hampir menggandakan skala pembangunan yang telah disiapkan setakat ini," kata syarikat itu
Kemajuan turut dicatat melalui projek Prospect Place South yang memulakan pembinaan pada September 2026 melibatkan dua bangunan baharu hasil reka bentuk Gehry Partners, meliputi 300 kediaman, ruang komersial seluas 6,040 meter persegi dan hab komuniti 1,394 meter persegi.
Ujar Battersea Power Station Development Company, pembangunan itu turut melengkapkan laluan utama pejalan kaki Electric Boulevard, selain menyediakan kemudahan hab basikal serta ruang kedai, kafe dan restoran bagi menyokong aktiviti ekonomi dan kehidupan komuniti setempat.

Projek itu turut memperoleh kelulusan perancangan bagi pembinaan 200 rumah mampu milik untuk disewa kepada keluarga tempatan pada kadar sewa sosial, menerusi kerjasama dengan Wandsworth Council di bawah program Homes for Wandsworth dan kerja dijangka bermula pada awal 2027.
Ketua Pegawai Kewangan Battersea Power Station Development Company, Chee Seng Siew berkata sokongan berterusan pemberi pinjaman mencerminkan keyakinan terhadap transformasi projek dan potensi nilai jangka panjang meskipun pasaran hartanah berdepan keadaan yang lebih perlahan.
"Pembiayaan semula itu menyediakan asas kewangan yang kukuh untuk pembangunan baki tanah berkenaan, selain menyifatkannya sebagai satu lagi langkah penting dalam usaha mewujudkan nilai berterusan kepada pemegang saham dan komuniti sekitar projek," jelas beliau.
Setakat ini, pembangunan itu sudah menghasilkan lebih 2,200 kediaman, 74,322 meter persegi ruang pejabat serta lebih 170 kedai, bar, restoran dan premis rekreasi, selain menarik lebih 50 juta pengunjung sejak stesen ikonik berkenaan dibuka semula pada 2022.
Dengan pelaburan melebihi £5 bilion (RM27 bilion) daripada pemegang saham Malaysia, iaitu SP Setia, Sime Darby Property dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pembangunan Battersea Power Station terus menjadi antara projek transformasi hartanah utama Malaysia di luar negara. - DagangNews.com




