
MALAYSIA mencatatkan sebanyak 42 tawaran awam permulaan (IPO) dalam tempoh tujuh bulan pertama 2026 merentasi pelbagai sektor, sekali gus berjaya mengumpul dana sebanyak RM5.8 bilion.
Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2027, prestasi ini mencerminkan minat berterusan terhadap pembiayaan pasaran ekuiti apabila syarikat memperoleh modal untuk mengembangkan operasi dan meneroka peluang pelaburan baharu.
Katanya, momentum ini turut disokong oleh usaha berterusan Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi meningkatkan akses pasaran, memperkemas proses penyenaraian serta memudah cara pemerolehan dana melalui pasaran ekuiti.
“Perolehan dana sektor swasta turut didorong oleh momentum pelaburan yang berterusan terutamanya dalam semikonduktor, infrastruktur digital, pusat data dan pengkomputeran awan serta pembuatan termaju dan aktiviti bernilai tinggi yang lain.
“Inisiatif kerajaan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan pembangunan berkaitan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) turut memberikan sokongan kepada pemerolehan dana swasta.
“Selain itu, keperluan pembiayaan bagi projek infrastruktur dan pembangunan utama di bawah Belanjawan 2026 dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas, 2026-2030 (RMK13) dijangka terus menyokong aktiviti terbitan apabila projek memasuki fasa pelaksanaan,” katanya.
Sementara itu, menurut laporan, pemerolehan dana kasar sektor swasta meningkat sebanyak 58.9 peratus kepada RM120.7 bilion bagi tujuh bulan pertama 2026, didorong oleh aktiviti pasaran ekuiti dan bon korporat yang aktif.
Jelasnya, dana kasar yang diperoleh daripada pasaran ekuiti berkembang sebanyak 34.4 peratus kepada RM5.8 bilion, manakala terbitan bon korporat melonjak sebanyak 60.4 peratus kepada RM114.9 bilion.
“Syarikat terus memanfaatkan pasaran modal hutang untuk mempelbagaikan sumber pendanaan dan mendapatkan pembiayaan jangka panjang. Keadaan pendanaan yang menggalakkan turut memudah cara pembiayaan berasaskan pasaran bagi penerbit yang mempunyai kedudukan kredit yang baik.
“Nota jangka pertengahan kekal sebagai instrumen utama merangkumi 96.9 peratus daripada jumlah terbitan bon korporat.
“Aktiviti terbitan tertumpu dalam sektor kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan (65.6 peratus), pembinaan (13.5 peratus) serta elektrik, gas dan air (11.4 peratus),” ujarnya.
Dalam pada itu,, pemerolehan dana kasar sektor awam melalui Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) meningkat sebanyak lapan peratus kepada RM110.6 bilion berbanding RM102.4 bilion dalam tempoh yang sama pada 2025.
Terbitan MGS dan MGII berjumlah RM55.4 bilion dan RM55.2 bilion bagi memenuhi keperluan pembiayaan defisit serta pembiayaan semula Kerajaan Persekutuan.
Walau bagaimanapun, penebusan yang lebih tinggi mengurangkan jumlah pemerolehan dana bersih sektor awam kepada RM56.7 bilion.
Permintaan terhadap sekuriti kerajaan kekal kukuh disokong oleh tahap simpanan domestik yang tinggi dan asas pelabur yang luas. Program pembiayaan kerajaan terus berpandukan pengurusan hutang yang berhemat dan objektif konsolidasi fiskal.
Melangkah ke hadapan, pasaran modal domestik dijangka terus menyokong keperluan pembiayaan bagi sektor awam dan swasta.
Pemerolehan dana korporat dijangka kekal kukuh disokong oleh keperluan pembiayaan untuk pengembangan perniagaan dan pelaburan terutamanya dalam infrastruktur, pembinaan, utiliti dan aktiviti berkaitan teknologi.
Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 (CMP) yang dilancarkan oleh SC pada Mac 2026 akan terus memangkin pembentukan modal dengan merancakkan pasaran dan meningkatkan nilai pasaran modal domestik. – UTUSAN
The post Malaysia catat 42 IPO, raih RM5.8 bilion dalam tujuh bulan appeared first on Utusan Malaysia.






