Ranhill berpeluang raih manfaat perbelanjaan modal cecah RM3.5 bilion di bawah pelan bersepadu air kerajaan – HLIB

LocalBusiness & Finance
18 Sep 2026 • 2:41 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ranhill berpeluang raih manfaat perbelanjaan modal cecah RM3.5 bilion di bawah pelan bersepadu air kerajaan – HLIB Image from: Ranhill berpeluang raih manfaat perbelanjaan modal cecah RM3.5 bilion di bawah pelan bersepadu air kerajaan – HLIB amree18/09/2026 - 14:41 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Sept — Ranhill Utilities Berhad berpeluang meraih manfaat perbelanjaan modal (capex) kira-kira RM3.5 bilion bagi pembangunan loji rawatan air di bawah pelan bersepadu dirangka kerajaan, susulan peningkatan permintaan daripada pusat data (DC) dan perindustrian di Johor.

 

Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB), pelaburan infrastruktur air itu berpotensi menyokong pertumbuhan pendapatan kumpulan berkenaan menerusi pengembangan kapasiti bekalan dan rawatan air bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat di seluruh negeri tersebut.

 

Ujar firma penyelidikan berkenaan, ledakan DC dan perindustrian di Johor mewujudkan peluang pertumbuhan struktur kepada syarikat konsesi air milik kumpulan tersebut, Ranhill SAJ Sdn Bhd, melalui peningkatan jumlah penggunaan air dalam kalangan pengguna.

 

"Berikutan peningkatan permintaan air, kami menjangkakan pertumbuhan tarif dan jumlah penggunaan akan memacu pertumbuhan pendapatan Ranhill yang mampan, manakala kutipan tarif lebih tinggi menyokong pelaburan lanjut dalam infrastruktur air," katanya dalam nota analisis.

 

Pelan bersepadu itu melibatkan perancangan dan kerangka industri air Johor, melibatkan kerajaan negeri, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan pihak berkaitan, manakala Ranhill SAJ ialah operator air tunggal di Johor yang melaksanakan pembangunan infrastruktur tertentu.

 

Aset air Johor kini dimiliki oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), entiti di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan, namun Ranhill SAJ dilaporkan sedang meneroka kemungkinan memiliki aset air sendiri selepas mendapat kelulusan daripada SPAN.

 

Ranhill_DagangNews2026

 

Tambah HLIB lagi, Johor pada ketika ini diunjurkan menambah kapasiti DC yang bakal beroperasi sebanyak 8.5 gigawatt (GW), selain kapasiti penggunaan tenaga untuk sistem teknologi maklumat (IT) mencecah 1.1GW yang sudah beroperasi.

 

Perkembangan itu selari dengan panduan Tenaga Nasional Berhad bahawa sebahagian besar daripada komitmen Perjanjian Bekalan Elektrik (ESA) berjumlah 8.35GW terletak di Johor, dengan tambahan kira-kira 5GW dijangka menyusul.

 

Berdasarkan perkembangan tersebut, HLIB menganggarkan keseluruhan keperluan air bagi DC di Johor boleh mencecah kira-kira 400 juta liter sehari, sekali gus mewujudkan peluang pertumbuhan jumlah penggunaan air secara struktur kepada Ranhill SAJ.

 

"Namun, pertumbuhan permintaan berkenaan turut meningkatkan keperluan terhadap kapasiti bekalan dan rawatan air baharu, menjadikan pembangunan infrastruktur air sebagai komponen penting bagi menyokong pengembangan sektor DC dan perindustrian di Johor," katanya.

 

Firma penyelidikan tersebut turut menjangkakan proses perindustrian secara berterusan serta pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan menyokong pertumbuhan permintaan air jangka panjang di negeri berkenaan.

 

Selain pertumbuhan penggunaan, HLIB menjangkakan Ranhill berpotensi mendapat manfaat daripada pelaksanaan capex bagi loji rawatan air di bawah struktur Pelan Air Bersepadu, yang boleh memberikan tambahan kepada pertumbuhan pendapatan kumpulan.

 

Walaupun berdepan keperluan pelaburan infrastruktur yang besar, ia berpandangan kumpulan tersebut masih kurang mendapat perhatian pasaran apabila didagangkan pada kira-kira 11.9 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 2027, menghasilkan nilai wajar RM4.20 sesaham. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved