Bau busuk, biawak hurung rangka kanak-kanak lemas

28 Mar 2026 • 8:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Rangka mayat kanak-kanak lemas ditemukan di tebing Sungai Kampung Sigapon, Keningau.

KENINGAU - Bau busuk yang dihidu seorang lelaki ketika memancing, selain kehadiran biawak di kawasan itu, membawa kepada penemuan rangka manusia sebelum disahkan milik kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang bersama datuknya di Sungai Pagalan, berhampiran Taman Bersatu pada Selasa lalu.

Rangka mayat Muhammad Aidan Ridwan Abdullah, 10, ditemukan kira-kira jam 4.30 petang Jumaat di tebing Sungai Kampung Sigapon, di sini

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan rangka manusia itu pada jam 9.17 malam Jumaat.

"Ketika kejadian, pengadu sedang memancing sebelum terhidu bau kurang menyenangkan. Pengadu kemudian berjalan menuju ke arah bau tersebut dan terlihat dua ekor biawak sedang berlegar-legar di kawasan berkenaan.

"Pengadu kemudian menemui rangka manusia di tepi sungai dalam keadaan tidak sempurna sebelum bertindak pulang ke rumahnya di Kampung Gaulan dan memaklumkan perkara itu kepada sepupunya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Yampil berkata, susulan penemuan tersebut, sepupu pengadu bertindak menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut pihak polis mendapati rangka manusia yang ditemukan berada dalam keadaan tidak sempurna dan dipercayai telah dimakan haiwan.

“Rangka dan beberapa cebisan kulit serta isi manusia dipercayai merupakan mangsa lemas yang dilaporkan pada Selasa lalu.

"Jarak antara lokasi kejadian lemas di Sungai Pagalan, dengan lokasi rangka ditemui di Kampung Sigapon dianggarkan kira-kira 23 kilometer," katanya

Tambah Yampil lagi, rangka berkenaan kemudian dikutip dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Keningau untuk tindakan lanjut.

"Kira-kira jam 3 petang tadi, ibu mangsa tampil membuat pengecaman dan mengesahkan rangka tersebut adalah anaknya berdasarkan pengecaman gigi, disaksikan pegawai perubatan dan pegawai penyiasat," katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki warga emas bersama cucunya dilaporkan hilang ketika memeriksa bot di sungai tersebut.

Dalam kejadian tersebut, Fredoline Yariki, 60, ditemukan lemas pada keesokan harinya manakala cucunya masih hilang.