ALOR GAJAH - Penduduk di Taman Sri Kelemak di sini tidak menduga bau busuk yang disangka bangkai kucing rupa-rupanya mayat bayi yang ditanam di laman sebuah rumah kosong berdepan kediaman suspek sekitar empat bulan lalu.
Seorang jiran yang enggan dikenali berkata, sebelum ini dia menyangka bau tersebut berpunca daripada bangkai haiwan itu memandangkan terdapat kucing mati di dalam longkang berhampiran.
“Bau kuat, ingatkan bangkai kucing. Kebetulan memang ada kucing mati dalam longkang, jadi tidak sangka rupa-rupanya bau mayat bayi yang ditanam.
“Kejadian hanya diketahui selepas pasukan forensik tiba di lokasi sekitar jam 11 pagi Rabu. Sebelum itu, sekitar jam 7 pagi, keluarga suspek ditahan di rumah mereka,” katanya ketika tinjauan Sinar Harian di lokasi pada Khamis.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan penemuan rangka bayi di laman rumah dipercayai ditanam kira-kira empat bulan lalu sejurus selepas dilahirkan.
Susulan itu, seorang remaja perempuan berusia 19 tahun yang juga ibu kepada bayi berkenaan bersama teman lelaki serta tiga ahli keluarganya iaitu ibu, kakak dan adik lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan.
Penduduk berusia lingkungan 50-an itu berkata, dia jarang berinteraksi dengan keluarga berkenaan kecuali jika terserempak dengan mereka di luar rumah.
“Saya jarang keluar rumah tapi kalau jumpa, kami berborak seperti biasa. Tiada apa yang mencurigakan.
“Mereka telah lama menetap di sini selepas kematian datuk dan nenek mereka dan rumah tersebut kini diduduki keluarga berkenaan,” katanya yang telah tinggal di situ lebih 38 tahun.
Dalam pada itu, dia berkata, rumah kosong itu digunakan oleh keluarga suspek untuk menyimpan barang dan memarkir kenderaan.
“Rumah itu sudah lama kosong, kira-kira enam tahun, kerana pemiliknya tinggal di tempat lain.
“Dulu pernah disewakan, tetapi penyewa sudah berpindah ke Johor. Jadi rumah itu dibiarkan kosong hampir enam tahun,” katanya.
Seorang lagi jiran memaklumkan, kali terakhir dia menemui keluarga itu ialah pada malam raya apabila sempat bertegur sapa dengan ibu suspek yang dikenalinya sejak kecil.
“Malam raya tegur ibu suspek di depan rumah, sempat berbual sekejap dan ucap Selamat Hari Raya.
“Saya nampak dia lebih pendiam daripada biasa dan kurang bercampur. Biasanya rumah dia meriah cuma kali ini suram. Anak-anaknya pun tak nampak main bunga api seperti raya-raya sebelum ini,” katanya.
Kongsinya, rumah kosong itu sebelum ini pernah menjadi perhatian susulan menjadi makmal dadah sekitar tahun 2020.
Kini, ia kembali mencuri perhatian apabila berlaku penemuan rangka bayi tersebut, tambahnya lagi.

