Baucar buku Madani RM100 boleh ditebus mulai esok, manfaatkan 1.18 juta pelajar IPT

LocalSales & Promo
14 Jul 2026 • 5:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Baucar buku Madani RM100 boleh ditebus mulai esok, manfaatkan 1.18 juta pelajar IPT
Pelajar IPT warganegara Malaysia boleh mula menebus Baucar Buku Madani bernilai RM100 mulai 11 pagi esok menerusi portal MySiswaPlace. Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Sebanyak 1.18 juta pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) warganegara Malaysia boleh mula menebus Baucar Buku Madani bernilai RM100 mulai 11 pagi esok menerusi portal MySiswaPlace.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelajar juga boleh membuat semakan kelayakan, menjana dan menebus baucar serta membeli bahan bacaan secara dalam talian dengan mudah dan selamat menerusi portal berkenaan.

"Inisiatif ini diteruskan oleh Kerajaan Madani bagi membantu meringankan kos pembelian bahan bacaan serta memperluas akses kepada sumber ilmu berkualiti.

"Penerusan inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam memperkasakan budaya membaca dan pembelajaran sepanjang hayat serta membantu mahasiswa mendapatkan bahan bacaan yang diperlukan sepanjang tempoh pengajian, merangsang pertumbuhan industri perbukuan negara, memperkukuh ekosistem penerbitan tempatan dan menyokong kelestarian industri ilmu,” menurut KPT.

Bagi memastikan pelajar mempunyai akses kepada pilihan bahan bacaan yang menyeluruh, MySiswaPlace menghimpunkan lebih 300 rakan niaga berdaftar yang terdiri daripada penerbit dan penjual buku tempatan.

Menurut kenyataan itu lagi, platform berkenaan menawarkan pelbagai kategori bahan bacaan termasuk buku akademik, buku rujukan, bahan ilmiah, e-buku dan penerbitan umum yang menyokong pembelajaran, penyelidikan serta pembangunan intelektual mahasiswa.

KPT turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan Kerajaan Madani meneruskan inisiatif itu, selain menggesa semua pelajar yang layak menebus Baucar Buku Madani dan memanfaatkannya bagi menyokong pembelajaran sepanjang pengajian. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved