'Bawa RUU pemandu mabuk ke Parlimen' - Shahidan

LocalPolitics
30 Mar 2026 • 5:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Datuk Seri Shahidan Kassim

SHAH ALAM – Sidang Dewan Rakyat akan datang perlu menjadi medan untuk kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang bagi memperketat undang-undang sedia ada berkaitan hukuman berat terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah yang menyebabkan kematian.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, selain itu wajar mengambil langkah segera memperkukuh penguatkuasaan tanpa berlengah.

Menurutnya, ketika ini Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun hingga maksimum 15 tahun, denda RM50,000 hingga RM100,000 serta penggantungan lesen selama 10 tahun bagi kesalahan tersebut.

“Nyawa rakyat tidak boleh dikompromi dan tindakan tegas mesti diambil,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan seorang penunggang motosikal maut tercampak selepas dirempuh kereta dipandu seorang individu dipercayai di bawah pengaruh alkohol dan dadah di Jalan Raya Barat, Klang dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey memaklumkan, bahawa siasatan awal mendapati kereta Honda City dipandu lelaki berusia lingkungan 20-an secara melulu dari arah Jalan Raya Barat ke Bandar Klang sebelum bertindak memotong kenderaan lain sehingga memasuki laluan bertentangan lalu merempuh motosikal terbabit.

Dalam hantaran yang sama, Shahidan turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, Allahyarham Amirul Hafiz Omar.

“Saya juga berharap agar pihak kerajaan dapat menyalurkan bantuan serta sokongan sewajarnya kepada keluarga mangsa.

"Marilah kita bersama-sama mendoakan agar semua mangsa akibat kecuaian ini mendapat pembelaan yang seadilnya, dan keluarga yang ditinggalkan terus dipelihara kebajikannya," ujar beliau.