Bawa teman wanita sambil 'wheelie', tiga samseng jalanan dicekup

2 Jun 2026 • 2:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bawa teman wanita sambil 'wheelie', tiga samseng jalanan dicekup
Rakaman video tular memaparkan penunggang motosikal dan pembonceng melakukan aksi 'wheelie' di sekitar ibu negara.
Image from: Bawa teman wanita sambil 'wheelie', tiga samseng jalanan dicekup
Tular video melibatkan beberapa penunggang motosikal Yamaha 135LC melakukan aksi 'wheelie' di sekitar Jalan Raja Laut, Jalan Tun Razak dan Jalan P Ramlee.

KUALA LUMPUR - Perbuatan sia-sia tiga samseng jalanan membonceng rakan perempuan dengan melakukan aksi 'wheelie' di sekitar ibu negara memakan diri selepas ditahan polis.

Penahanan tiga lelaki dan tiga perempuan berusia lingkungan 15 hingga 20 tahun itu dilaksanakan Unit Risikan/Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, mereka ditahan dalam dua tangkapan berasingan pada Isnin dan Selasa.

Menurutnya, ini susulan video tular berdurasi 44 saat melibatkan beberapa penunggang motosikal Yamaha 135LC melakukan aksi 'wheelie' bersama pembonceng di sekitar Jalan Raja Laut, Jalan Tun Razak dan Jalan P Ramlee.

"Tangkapan pertama kira-kira jam 3.20 pagi, Isnin melibatkan penunggang lelaki dan pembonceng perempuan yang juga pasangan kekasih.

"Tangkapan kedua dibuat pada jam 12.54 tengah malam, Selasa melibatkan dua penunggang lelaki bersama dua pembonceng perempuan dipercayai masing-masing adalah rakan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

**media[3538238]**

Beliau berkata, kesemua tangkapan telah dirakam percakapan dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

"JSPT Kuala Lumpur memandang serius kegiatan samseng jalanan yang bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain," ujarnya.

Tambahnya, tindakan pengesanan dan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membendung kegiatan tersebut.

Tegasnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti samseng jalanan serta sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya demi keselamatan semua pihak.