Tular Video ‘Wheelie’ Sambil Bonceng Gadis Di Ibu Kota, 4 Remaja Bawah Umur Ditahan

2 Jun 2026 • 5:07 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

wheelie

Polis menahan empat individu yang terdiri daripada remaja bawah umur dipercayai terlibat dalam aksi ‘wheelie’ secara berbahaya di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur susulan tular video berkenaan di media sosial sehingga mengundang kebimbangan pengguna jalan raya, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian itu dikesan selepas satu video berdurasi 44 saat dimuat naik di media sosial pada Ahad lepas, yang memaparkan beberapa penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya bersama pembonceng di jalan raya awam.

Menurutnya, tangkapan melibatkan dua penunggang motosikal lelaki serta dua pembonceng perempuan berusia antara 15 hingga 18 tahun.

“Mereka dipercayai terlibat dalam rakaman video tular memaparkan beberapa penunggang motosikal melakukan aksi ‘wheelie’ secara berbahaya di Jalan Raja Laut, Jalan Tun Razak dan Jalan P. Ramlee.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya.

JSPT Kuala Lumpur menegaskan pihaknya memandang serius kegiatan samseng jalanan yang bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

Sumber: Facebook

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.