Dituduh lapor aktiviti seludup PATI, imam warga Thailand diugut sindiket

LocalPolitics
22 Sep 2026 • 11:28 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Dituduh lapor aktiviti seludup PATI, imam warga Thailand diugut sindiket

TUMPAT – Seorang imam warga Thailand menerima mesej berbaur ugutan dan kereta disimbah cat di Jeti Kok Majid di sini semalam selepas dikatakan membuat laporan berhubung aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan Kepulauan Tumpat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.36 malam itu, mangsa yang berusia 30 tahun mendapati kereta jenis Honda City milik isterinya disimbah cat hitam ketika meletakkan kenderaan tersebut di jeti berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie berkata, siasatan awal mendapati, mangsa meletakkan kereta itu di kawasan jeti berkenaan kira-kira pukul 7.10 malam sebelum bergerak ke Masjid Pulau Beluru.

Katanya, selesai menunaikan solat isyak, mangsa kembali ke kawasan jeti itu kira-kira pukul 9.36 malam sebelum mendapati ada kesan cat pada pada bahagian sisi kiri kereta tersebut.

“Sebelum kejadian, mangsa dipercayai menerima satu tangkap skrin daripada rakannya mengandungi kenyataan mendakwa dia diugut berkaitan isu pemberian maklumat kepada pihak berkuasa mengenai aktiviti penyeludupan PATI di kawasan Kepulauan Tumpat.

“Mangsa bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut. Sehubungan itu, polis sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti suspek, motif kejadian dan kemungkinan kaitan kes khianat tersebut dengan maklumat yang diterima oleh mangsa sebelum kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd. Khairi memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat. – KOSMO! ONLINE

The post Dituduh lapor aktiviti seludup PATI, imam warga Thailand diugut sindiket appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved