Bayaran Interim Geran Khas Sabah Dinaikkan Kepada RM1.5 Bilion - PM

LocalPolitics
30 May 2026 • 1:47 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Bayaran Interim Geran Khas Sabah Dinaikkan Kepada RM1.5 Bilion - PM

KUALA LUMPUR - Bayaran interim Geran Khas Sabah dinaikkan kepada RM1.5 bilion tahun ini berbanding RM600 juta yang diperuntukkan tahun lalu.

Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan tersebut merupakan langkah sementara menunggu rundingan dan mekanisme pembayaran hak Sabah sebanyak 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan dimuktamadkan, selaras peruntukan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurut beliau, Kerajaan MADANI komited untuk melaksanakan hak berkenaan dan tiada lagi pertikaian mengenai keperluan pelaksanaannya.

“Kerajaan MADANI telah memutuskan bahawa pelaksanaan hak 40 peratus untuk Sabah merupakan satu dasar yang mesti dilaksanakan.

"Tiada lagi perdebatan sama ada ia perlu dilaksanakan atau sebaliknya. Apa yang sedang diperincikan kini ialah mekanisme dan kaedah pelaksanaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di Penampang, Sabah hari ini.

Jelas Perdana Menteri, rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sedang berlangsung secara terperinci, memandangkan sebarang keputusan berkaitan MA63 mempunyai implikasi terhadap hubungan antara Persekutuan dan negeri-negeri lain.

Katanya, kerajaan tidak berniat untuk melengah-lengahkan proses tersebut, sebaliknya mahu memastikan setiap keputusan dibuat secara teliti dan bertanggungjawab.

“Kerajaan tidak lagi boleh menggunakan alasan kekangan kewangan untuk menangguhkan pelaksanaan hak Sabah. Keputusan telah dibuat dan yang tinggal hanyalah memuktamadkan formula pelaksanaannya,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, menyatakan penghargaan terhadap komitmen Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan hak-hak Sabah di bawah MA63.

Bagaimanapun, beliau berharap kadar Geran Khas berdasarkan 40 peratus hasil bersih Persekutuan dapat dikaji semula dan ditingkatkan bermula tahun ini bagi mengukuhkan kedudukan fiskal negeri serta mempercepat pelaksanaan projek pembangunan rakyat, termasuk penambahbaikan bekalan air, jalan raya dan jambatan.

Dalam pada itu, Anwar berkata, bayaran interim berkenaan dilaksanakan walaupun kerajaan berdepan cabaran kewangan susulan ketidaktentuan geopolitik global yang memberi kesan kepada harga minyak serta perbelanjaan subsidi negara.

“Bayaran interim ini bukan penyelesaian muktamad, namun ia menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk menunaikan tanggungjawab kepada Sabah sementara proses rundingan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan Sabah dipinggirkan oleh Kerajaan Persekutuan, sambil menegaskan, pelbagai peruntukan pembangunan dan perbelanjaan terus disalurkan kepada negeri itu.

Menurutnya, hasil yang dikutip daripada Sabah tahun lalu dianggarkan sekitar RM10 bilion, namun jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan dan perbelanjaan yang disalurkan kembali kepada negeri itu mencecah kira-kira RM17 bilion.

“Ini tidak bermakna hak Sabah boleh dinafikan, namun rakyat perlu melihat fakta secara menyeluruh. Kerajaan kekal komited untuk melaksanakan hak 40 peratus tersebut, di samping terus menyalurkan bantuan, subsidi dan projek pembangunan demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya. - Getaran, 30 Mei 2026