Untung bersih Maybank susut kepada RM2.48 bilion pada 1Q26 berbanding tempoh sama tahun 2025

LocalBusiness & Finance
28 May 2026 • 6:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih Maybank susut kepada RM2.48 bilion pada 1Q26 berbanding tempoh sama tahun 2025 Image from: Untung bersih Maybank susut kepada RM2.48 bilion pada 1Q26 berbanding tempoh sama tahun 2025 liza28/05/2026 - 18:15 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Mei – Malayan Banking Berhad (Maybank) mencatat penurunan keuntungan bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1Q26), apabila keuntungan bersih susut kepada RM2.48 bilion berbanding RM2.58 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

 

Penurunan itu turut mencerminkan tekanan terhadap hasil kumpulan, apabila pendapatan keseluruhan berkurang kepada RM14.91 bilion daripada RM16.87 bilion sebelumnya, berikutan keadaan pasaran yang lebih mencabar.

 

Menurut bank tersebut, prestasi yang lebih lemah itu dipengaruhi oleh penyusutan pendapatan dagangan serta penurunan pendapatan bukan faedah, meskipun perniagaan teras kekal berdaya tahan.

 

“Pendapatan bukan faedah kumpulan turut merosot kepada RM1.99 bilion, sekali gus memberi kesan kepada jumlah pendapatan operasi bersih yang susut 7.9% kepada RM7.1 bilion.

 

“Namun, pendapatan faedah bersih masih mencatat pertumbuhan, disokong oleh pertumbuhan pinjaman yang stabil serta struktur pembiayaan yang lebih efisien,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Selain itu, margin faedah bersih juga meningkat 10 mata asas kepada 2.14%, disokong oleh kos dana yang lebih rendah serta peningkatan nisbah akaun semasa dan simpanan (CASA) kepada 41.1%.

 

Dari segi portfolio pinjaman, kumpulan mencatat pertumbuhan 0.9% kepada RM684.5 bilion, dipacu oleh pengembangan di pasaran Malaysia dan Singapura.

 

Dari sudut kecekapan, perbelanjaan operasi Maybank susut 5.3% hasil kawalan kos yang lebih berdisiplin, sekali gus menurunkan nisbah kos kepada pendapatan kepada 49.9%.

 

Namun begitu, pulangan atas ekuiti (ROE) kekal stabil pada 11.2%, mencerminkan keuntungan masih berada pada tahap sihat walaupun mencatat penurunan.

 

Kualiti aset kumpulan pula kekal terkawal dengan nisbah pinjaman terjejas kasar pada 1.34%, manakala perlindungan kerugian pinjaman berada pada 104.4%.

 

Maybank turut merekodkan caj kredit bersih pada tahap 10 mata asas, mencerminkan penurunan peruntukan terhadap pinjaman korporat, walaupun masih mengekalkan rizab risiko makro dan geopolitik sebanyak RM2.4 bilion.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata keputusan kewangan itu mencerminkan kekuatan francais kumpulan yang pelbagai serta disiplin operasi yang konsisten.

 

Menurutnya, kumpulan akan terus melaksanakan strategi ROAR30 dengan fokus kepada integrasi serantau, perbankan Islam, pengurusan kekayaan serta pelaburan dalam teknologi, data dan kecerdasan buatan bagi meningkatkan produktiviti jangka panjang. - DagangNews.com

Terkini featured standard
View Original Article