MELAKA – Seorang wanita Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang bayi setahun, bulan lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Shofikah Abdul Shukur, 35, selepas dia memaklumkan tidak memahami bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman kemudian menetapkan 11 November ini bagi pelantikan jurubahasa Rohingya untuk membolehkan pertuduhan dibacakan dan difahami tertuduh.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap bayi lelaki warga Myanmar berusia setahun dengan menampar muka mangsa beberapa kali, mengikat kaki dan tangan serta menghempaskannya ke lantai.
Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 11.48 pagi pada 30 September lalu di sebuah rumah di Pulau Melaka, dalam daerah Melaka Tengah.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani, manakala tertuduh diwakili peguam Nigel Tai.
Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh.
Sementara itu, seorang lagi wanita warga Rohingya berusia 25 tahun turut berdepan pertuduhan berkaitan kes sama.
Bagaimanapun, prosiding terhadap wanita itu ditangguhkan ke 11 November ini bagi membolehkan jurubahasa Rohingya disediakan selepas dia turut memaklumkan tidak memahami bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Tiada jaminan ditawarkan terhadap wanita berkenaan.





