Bayi Antara 4 Yang Terkorban, Honda City Dihempap Treler Terbalik Di Lebuhraya Karak

14 Jun 2026 • 8:24 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Empat individu termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun maut dalam satu nahas tragis apabila kereta dinaiki mereka dihempap sebuah treler yang terbalik di Kilometer 43, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) menghala ke Karak, Bentong pada Ahad.

Empat maut, pemandu treler alami kecederaan

Memetik laporan daripada Sinar Harian, mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai A Halim Hasoon, 55, Rozita Buang, 58, Norbahyah A Halim, 26 dan Nayla Afya Aizat, 1.

Dalam kejadian itu, pemandu treler berusia 40 tahun dilaporkan mengalami kecederaan.

Image from: Bayi Antara 4 Yang Terkorban, Honda City Dihempap Treler Terbalik Di Lebuhraya Karak

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 4.35 petang.

“Susulan maklumat diterima, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong ke lokasi kejadian kira-kira 28 kilometer dari balai untuk operasi menyelamat.
“Anggota bersama jentera yang tiba di lokasi jam 5.15 petang bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta jenis Honda City menggunakan peralatan menyelamat khas,” katanya.

Image from: Bayi Antara 4 Yang Terkorban, Honda City Dihempap Treler Terbalik Di Lebuhraya Karak

Menurut beliau, kesemua mangsa yang berada di dalam kereta itu berjaya dikeluarkan sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan di lokasi kejadian.

“Operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dibantu Pasukan Bomba Sularela (PBS) Elektriksolar Janda Baik.
“Sebuah jentera berat milik syarikat konsesi lebuh raya digunakan untuk mengangkat treler bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” ujarnya.

Image from: Bayi Antara 4 Yang Terkorban, Honda City Dihempap Treler Terbalik Di Lebuhraya Karak

Tambah beliau, semua mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala pemandu treler hanya mengalami kecederaan.

Sumber: Sinar Harian (Nik Amirulamin Nik Min)

The post Bayi Antara 4 Yang Terkorban, Honda City Dihempap Treler Terbalik Di Lebuhraya Karak appeared first on Borak Daily.