KUANTAN - Treler yang menghempap kereta sehingga meragut empat nyawa di Kilometer 43.2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Bentong pada Ahad terbakar ketika proses dialihkan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, kebakaran dikesan semasa jentera penyodok cuba mengalihkan treler tersebut.
Menurutnya, kebakaran terjadi selepas semua mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan.
**media[3551198]**
Terdahulu, empat termasuk seorang bayi perempuan maut dalam kemalangan kira-kira jam 4.30 petang.
Kemalangan dipercayai berpunca treler hilang kawalan ketika melalui selekoh berbukit sebelum terbabas dan menghempap kereta mangsa yang berada di lorong kiri.
Semua mangsa tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
**media[3551200]**
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk proses bedah siasat.
Mangsa yang maut dipercayai pemandu dan penumpang kereta jenis Honda City, A Halim Hasoon, 55, Rozita Buang, 58, Norbahyah A Halim, 26 dan Nayla Afya Aizat,1.






