
JOHOR BAHRU – Seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemukan mati dalam keadaan menyayat hati selepas mayatnya ditemui di dalam lubang mangkuk tandas sebuah rumah sewa pelajar di Taman Setia Mutiara, Kluang, semalam dengan beberapa kesan tikaman pada badan.
Kejadian itu terbongkar selepas seorang pelajar kolej wanita berusia 19 tahun dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, Kluang untuk mendapatkan rawatan selepas dipercayai baru melahirkan anak.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, sebelum dibawa ke hospital, pelajar terbabit dikatakan menghubungi gurunya bagi memaklumkan keadaan yang dialaminya.
“Hasil pemeriksaan di hospital mendapati wanita berkenaan baru melahirkan seorang bayi, selain doktor mengesan masih terdapat seorang lagi bayi di dalam kandungannya.
“Pelajar itu kemudian selamat melahirkan bayi kedua di hospital yang sama,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan bermula selepas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerima laporan kira-kira pukul 1 petang mengenai seorang pelajar wanita yang dimasukkan ke hospital kerana dipercayai baru melahirkan anak.
Susulan itu, polis menjalankan pemeriksaan di rumah sewa yang didiami pelajar terbabit sebelum menemukan mayat seorang bayi perempuan di dalam lubang mangkuk tandas.
“Pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa kesan tikaman pada badan bayi tersebut, namun punca sebenar kematian masih menunggu keputusan bedah siasat.
“Bedah siasat juga akan menentukan jumlah sebenar kesan tikaman yang terdapat pada mayat bayi berkenaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Ab. Rahaman berkata, polis turut menahan seorang lelaki berusia 19 tahun yang dipercayai teman lelaki suspek dan merupakan pelajar di kolej yang sama bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, polis akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek lelaki di Mahkamah Majistret Kluang hari ini bagi melengkapkan siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta Seksyen 315 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan dilakukan dengan niat menghalang seseorang anak daripada dilahirkan hidup atau menyebabkan kematiannya selepas dilahirkan.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti kejadian sebenar yang membawa kepada kematian bayi malang berkenaan.-KOSMO! ONLINE
The post Bayi baru lahir dibuang dalam mangkuk tandas, ada kesan tikaman appeared first on Kosmo Digital.






