JOHOR BAHRU - Teman lelaki kepada pelajar perempuan yang ditahan susulan kes penemuan mayat bayi dalam mangkuk tandas sebuah rumah di Taman Setia Mutiara, Kluang, Johor direman seminggu bermula Khamis.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 19 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurasidah A Rahman sehingga 5 Ogos bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, hasil siasatan, suspek lelaki berkenaan mengaku memberikan RM450 kepada pasangannya itu untuk menggugurkan kandungan.
ARTIKEL BERKAITAN: Mayat bayi ditemukan dengan kesan tikaman dalam mangkuk tandas, pasangan pelajar kolej ditahan
“Hasil bedah siasat menunjukkan punca kematian bayi perempuan itu disebabkan luka tikaman berganda pada bahagian dada.
“Polis merampas sebilah pisau berukuran 24 sentimeter panjang dan pakaian yang mempunyai kesan darah,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemui meninggal dunia di dalam mangkuk tandas sebuah rumah di Taman Setia Mutiara, Kluang.
Kejadian terbongkar selepas pelajar perempuan itu dibawa ke hospital kerana dipercayai tidak sihat.
Namun, hasil pemeriksaan mendapati, dia baru sahaja melahirkan seorang bayi dan terdapat seorang lagi bayi dalam kandungannya.
“Siasatan lanjut mendapati, kedua-dua bayi itu hasil hubungan kedua-duanya beberapa bulan lalu,” katanya.
Ketika ini, pelajar perempuan berkenaan sedang dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, Kluang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 315 kanun keseksaan.





