
Polis menahan seorang wanita berusia 23 tahun bagi membantu siasatan penemuan mayat bayi di dalam longkang di kawasan perumahan Padang Setengge, Kuala Berang
KUALA BERANG: Polis menahan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang bayi di dalam longkang di kawasan perumahan Padang Setengge dekat sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata suspek, yang berumur 23 tahun, ditahan pada 3.30 petang di rumahnya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata penahanan itu telah mendedahkan kelahiran dan penglibatan suspek dalam kes berkenaan sekali gus membolehkan penyelesaian kes dalam tempoh 24 jam.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pakar Patologi Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah pagi tadi mendapati mayat bayi adalah cukup bulan dan mati lebih daripada 24 jam dari masa diperiksa, iaitu 9 pagi.
“Bagaimanapun, bayi tersebut tidak dapat dipastikan sama ada lahir hidup atau mati, begitu juga sebab kematian… jantina bayi juga tidak dipastikan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Bernama semalam melaporkan seorang wanita menjumpai mayat seorang bayi tanpa beberapa anggota badan di dalam longkang ketika membasuh pakaian di belakang rumah di kawasan perumahan Padang Setengge, Kuala Berang.






