
HULU TERENGGANU – Mayat bayi tanpa kepala dan sebahagian anggota badan yang dijumpai dalam longkang di kawasan Perumahan Padang Setengge di sini, semalam dipercayai sudah berusia sembilan bulan sebelum ditemukan mati.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, hasil bedah siasat yang dilakukan di Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu mendapati bayi tersebut berusia antara 37 dan 38 minggu.
“Usia bayi itu diukur berdasarkan pahanya yang dijumpai. Hasil bedah siasatan juga mengesahkan bayi tersebut sudah mati terlebih dahulu sebelum sebahagian anggota badannya hilang.
“Ia dibuktikan dengan kesan koyakan pada tubuh mayat bayi itu yang tidak rata dan pucat menandakan luka terjadi selepas kematiannya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sharudin berkata, bayi tersebut dipercayai telah meninggal dunia lebih 24 jam sebelum ditemui.
Beliau berkata, bagaimanapun jantina masih belum dapat dikenalpasti ekoran organ pembiakannya tidak ditemui.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Mayat bayi tanpa kepala dianggar 9 bulan appeared first on Kosmo Online.






