Bayi lahir 2026 dijangka hidup 75.5 tahun, Selangor catat jangkaan hayat tertinggi

LocalHealth & Fitness
30 Sep 2026 • 1:07 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Bayi lahir 2026 dijangka hidup 75.5 tahun, Selangor catat jangkaan hayat tertinggi

PUTRAJAYA, 30 SEPT: Seorang bayi yang dilahirkan pada 2026 secara purata dijangka hidup hingga 75.5 tahun, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menurut Jadual Hayat Ringkas Malaysia 2024-2026 yang dikeluarkan hari ini, secara purata bayi perempuan dijangka hidup hingga 78.1 tahun, iaitu 4.9 tahun lebih lama berbanding bayi lelaki pada 73.2 tahun.

“Jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki dan perempuan mengikut negeri untuk tempoh 2024 hingga 2026 dicatatkan di Selangor, manakala Terengganu mencatatkan jangkaan hayat terendah bagi tempoh sama.

“Terdapat tiga negeri yang mempunyai jangkaan hayat melebihi jangkaan hayat paras nasional (75.5 tahun) pada 2026, iaitu Selangor (78.2 tahun), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (77.3 tahun) dan Wilayah Persekutuan Labuan (77.0 tahun),” menurut kenyataan itu.

Menurut DOSM, jangkaan hayat ketika lahir pada 2019 meningkat 0.4 tahun berbanding 2016.

Jangkaan hayat lelaki meningkat 0.4 tahun daripada 72.1 tahun kepada 72.5 tahun, manakala jangka hayat perempuan juga meningkat 0.4 tahun.

“Bagaimanapun, jangkaan hayat ketika lahir pada 2022 menurun sebanyak 0.9 tahun dengan jangkaan hayat lelaki menurun sebanyak 1.0 tahun dan perempuan sebanyak 0.8 tahun berbanding 2020. Pada 2026, jangkaan hayat ketika lahir mencatatkan peningkatan sebanyak 1.5 tahun berbanding 2023.

“Peningkatan jangkaan hayat ini disebabkan jumlah kematian yang menurun bagi tempoh 2023 hingga 2026 berbanding 2020 hingga 2022 yang mana berlakunya lebihan kematian semasa pandemik COVID-19,” menurut kenyataan itu.

Lelaki yang mencapai umur 15 dan 60 tahun pada 2026 masing-masing dijangka hidup selama 59.0 tahun dan 18.9 tahun.

“Ini bermakna, lelaki yang berumur 15 dan 60 tahun pada 2026 masing-masing dijangka hidup sehingga 74.0 tahun dan 78.9 tahun.

“Sebaliknya, perempuan dalam kumpulan umur yang sama dijangka hidup selama 63.7 tahun dan 21.7 tahun lagi, iaitu dengan jangkaan hayat masing-masing 78.7 tahun dan 81.7 tahun,” menurut DOSM.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved