amree29/09/2026 - 16:40 MOHD RADZI Mohamad Alias pada program Literasi Media CAAM dan Institut Akhbar Malaysia (MPI) di Sepang, Selangor. - Foto DagangNews.com / Amree Ahmad Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com SEPANG 29 Sept — Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menegaskan aspek kawal selia keselamatan penerbangan awam bukannya bermula ketika pesawat sedia berlepas di lapangan terbang, sebaliknya bermula awal lagi sekurang-kurangnya 2.5 tahun sebelum penerbangan itu dilaksanakan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Kawal Selia) CAAM, Kapten Mohd Radzi Mohamad Alias menjelaskan, penumpang hanya memikirkan peranan badan kawal selia apabila berlaku isu gangguan atau insiden, sedangkan proses pengawasan itu sudah dibuat teliti sebelum mereka melangkah keluar dari rumah.
Dalam tempoh 2.5 tahun sebelum sesuatu pesawat dibenarkan terbang, CAAM menjalankan penilaian dan pemeriksaan kelayakan kejuruteraan yang amat ketat, merangkumi penyemakan kesesuaian teknikal pesawat, pengesahan kelulusan komponen sehingga ke perincian nombor bahagian bagi setiap skru.
"Langkah ini turut memastikan pesawat berkenaan termasuk syarikat penerbangan asing layak terbang di Malaysia selain memastikan infrastruktur lapangan terbang, antaranya ketinggian rumput di kawasan landasan memenuhi standard keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO)," jelasnya.
Mohd Radzi berkata demikian pada program Literasi Media CAAM dan Institut Akhbar Malaysia (MPI) yang turut dihadiri Pengerusi CAAM, Datuk Mohamed Shahril Tarmizi dan Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong, serta lebih 30 pengamal media pelbagai organisasi tempatan termasuk portal berita dalam talian.
Tambah beliau, di samping aspek fizikal dan teknikal pesawat, proses sebelum penerbangan berkenaan turut melibatkan penilaian ketat terhadap struktur organisasi syarikat penerbangan, kelayakan ekonomi, serta program latihan disediakan bagi anak kapal dan jurutera.

Sebagai contoh, latihan khas bagi juruterbang dan jurutera untuk mengendalikan jenis pesawat baharu perlu dijalankan di pusat latihan yang diiktiraf, selain memastikan lapangan terbang destinasi mempunyai pensijilan rasmi sebelum sebarang kebenaran berlepas diberikan.
"Tanggungjawab kawal selia ini tidak terhenti sejurus pesawat mendarat selamat, malah masih ada bertahun-tahun selepas penerbangan tamat, termasuk pengendalian aduan pengguna, pemantauan rekod penyelenggaraan jangka panjang, serta penguatkuasaan jika ada pelanggaran peraturan," kata Mohd Radzi.
Bagi memastikan aspek keselamatan sentiasa berada pada tahap tertinggi, CAAM melaksanakan pengawasan berterusan yang ketat dengan ujian penerbangan bagi juruterbang diwajibkan setiap enam bulan, manakala ujian penilaian kecekapan bagi jurutera pula dijalankan pada setiap tahun.
Pemeriksaan berkala ini memastikan setiap juruterbang, jurutera, dan komponen pesawat sentiasa memenuhi piawaian antarabangsa ditetapkan ICAO, dan menerusi pendekatan pengawasan berasaskan risiko, sebarang proses kawal selia dipantau di setiap peringkat bagi menjamin keselamatan menyeluruh.
Pada masa sama, ujar Mohd Radzi, CAAM tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kemalangan pesawat yang melibatkan kes kematian kerana isu tersebut di bawah bidang kuasa pihak polis manakala kawasan insiden terletak atas kawal selia Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
"Sehubungan itu, jika berlaku insiden pesawat terhempas dan ada kes maut, pihak wartawan wajar mendapatkan fakta terus daripada polis atau bomba kerana pernah terjadi, mangsa masih hidup namun dilaporkan media sebagai konon sudah terkorban pula," katanya. - DagangNews.com






