BALIK PULAU - Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemukan masih bernyawa dalam sebuah tong sanitari di tandas orang kurang upaya (OKU) di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas di sini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, bayi berkenaan ditemukan seorang pekerja pembersihan selepas terdengar bunyi tangisan dari dalam tong sanitari terbabit pada 31 Ogos lalu.
Menurutnya, bayi berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan.
“Hasil siasatan dan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) membawa kepada penahanan seorang wanita tempatan berusia 23 tahun di Kompleks Bukit Jambul bagi membantu siasatan.
“Siasatan lanjut kemudian membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Myanmar berusia 22 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.
“Lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut dan turut didapati gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Anuwal berkata, pasukan forensik Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.
“Beberapa sampel turut diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan serta kaitan individu yang ditahan dengan kejadian tersebut,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga boleh menjejaskan siasatan polis.
Berdasarkan maklumat yang tular, bayi berkenaan ditemui dalam keadaan masih mempunyai tali pusat dalam tong sanitari di tandas lapangan terbang tersebut.
Perkongsian video itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang terkejut dengan kejadian berkenaan.






