SUNGAI PETANI - Seorang pengasuh direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kematian bayi perempuan berusia 11 bulan, pada Khamis.
Permohonan reman dibenarkan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi ke atas wanita berusia 30 tahun itu.
Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 ke atas wanita tersebut.
Sebelum itu, wanita tersebut dibawa ke Kompleks Mahkamah Sungai Petani pada jam 8.50 pagi Jumaat menggunakan kenderaan polis.
Permohonan reman kemudian selesai sekitar jam 9.50 pagi apabila suspek dibawa keluar dari kompleks mahkamah.
Terdahulu, media melaporkan mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada Khamis.
Mangsa dipercayai terjatuh dari kerusi ketika disuap makan di rumah pengasuh di Taman Permaipura Ceria, Bedong dalam kejadian Isnin lalu.
Bayi tersebut sebelum itu dilaporkan tidak sedarkan diri selepas kejadian kira-kira jam 2.15 petang.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada bapa mangsa.
Menurutnya, pengadu memaklumkan menerima panggilan telefon daripada pengasuh memaklumkan kejadian.
Hanyan berkata, mangsa yang menerima rawatan sejak kejadian itu disahkan meninggal dunia pada jam 10.42 pagi Khamis ketika dirawat di HSB.
Difahamkan, mangsa merupakan anak tunggal kepada pasangan suami isteri yang kedua-duanya bekerja sebagai jururawat di hospital swasta.





