KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Seorang bayi perempuan berusia enam bulan meninggal dunia selepas dipercayai tersedak susu ketika berada di rumah pengasuh di Pantai Dalam di sini pada Selasa.
Difahamkan, kejadian itu hanya disedari oleh ibu mangsa selepas pengasuh menghubunginya kira-kira jam 5 petang bagi memaklumkan keadaan bayi berkenaan yang tidak sedarkan diri.
Berdasarkan laporan polis, ibu mangsa yang ketika itu berada di tempat kerja segera bergegas ke rumah pengasuh sebaik menerima berita berkenaan.
Ibu mangsa mendakwa telah meminta pengasuh membawa bayi itu segera ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan, namun perkara itu tidak dilakukan.
Setibanya di rumah pengasuh kira-kira jam 5.15 petang, ibu mangsa mendapati anaknya berada dalam keadaan lemah dan tidak sedarkan diri.
Wanita itu kemudian bersama-sama pengasuh serta suaminya membawa bayi tersebut ke Unit Kecemasan Hospital Pantai Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, usaha menyelamatkan mangsa gagal apabila pegawai perubatan hospital berkenaan mengesahkan bayi itu meninggal dunia pada jam 6.08 petang.
Susulan kejadian itu, bapa mangsa membuat laporan polis bagi memohon siasatan dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kematian anaknya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 8.08 malam.
"Bayi berkenaan dibawa ke hospital oleh ibu bersama-sama pengasuh dalam keadaan tidak bernyawa.
"Siasatan awal mendapati ibu mangsa dimaklumkan oleh pengasuh pada jam 5.04 petang bahawa bayi itu tidak sedarkan diri selama kira-kira 30 minit ketika berada di rumah pengasuh," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
"Punca kematian mangsa masih dalam siasatan dan keputusan analisis makmal masih ditunggu," katanya.




