Bayi perempuan ditemui dalam tong sampah

26 Mar 2026 • 11:49 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Bayi dipercayai baru lahir ditemui dalam keadaan masih hidup serta bertali pusat.

AMPANG - Seorang bayi perempuan ditemui di dalam tong sampah di hadapan sebuah rumah di Taman Putra Ampang di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan kira-kira jam 6.27 petang.

"Bayi yang dipercayai baru lahir kira-kira empat jam dari masa ditemui itu dalam keadaan masih hidup serta bertali pusat.

“Bayi itu telah dihantar ke Hospital Ampang, kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan serta dipantau pihak hospital,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pihak polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes berkenaan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil atau menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.