Bayi setahun meninggal dunia, ibu dan pengasuh ditahan

LocalFamily & Parenting
10 Sep 2026 • 8:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bayi setahun meninggal dunia, ibu dan pengasuh ditahan
Seorang bayi lelaki berusia setahun meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di rumah pengasuh di Kampung Melayu, Air Itam. Gambar hiasan

GEORGE TOWN - Seorang bayi lelaki berusia setahun satu bulan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri dengan bibir kebiruan di rumah pengasuhnya di Kampung Melayu, Air Itam di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Pulau Pinang (HPP) pada jam 5.16 petang berhubung kematian bayi terbabit.

Menurutnya, mangsa dibawa ke HPP oleh ibunya dan pengasuh pada jam 2.45 petang selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa ditemukan oleh pengasuhnya, seorang wanita tempatan berusia 44 tahun, kira-kira jam 2 petang di rumah pengasuh berkenaan.

“Mangsa kemudiannya dikejarkan ke HPP oleh ibu dan pengasuh untuk mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kematian mangsa disahkan pada jam 3.33 petang selepas rawatan kecemasan diberikan.

“Polis telah menahan pengasuh dan ibu mangsa bagi membantu siasatan berhubung kejadian,” ujarnya.

Beliau berkata, bedah siasat terhadap mangsa dijalankan pada Rabu, namun punca kematian masih belum dapat dipastikan.

“Punca kematian masih menunggu keputusan analisis makmal.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Abdul Rozak berkata, pengasuh berkenaan direman tujuh hari bermula 9 hingga 15 September, manakala ibu mangsa direman tiga hari dari 9 hingga 11 September bagi membantu siasatan lanjut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved