
KUALA LUMPUR - Semua sukarelawan misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition X Thousand Madleens to Gaza (FFCxTMTGM) perlu dibebaskan serta-merta tanpa syarat.
Jurucakap Kementerian Luar berkata, misi FFCxTMTGM ialah konvoi kemanusiaan yang berlayar secara aman bagi menghulurkan bantuan, khususnya perubatan kepada penduduk Gaza.
Tegas beliau, penahanan oleh rejim Zionis itu jelas mencabuli sistem perundangan kerana ia berlaku di perairan antarabangsa yang bukan milik mana-mana negara.
“Israel perlu menghormati hak peserta sebagai sukarelawan misi kemanusiaan dan memastikan keselamatan serta maruah mereka terpelihara pada setiap masa,” katanya.
Mengesahkan sembilan rakyat Malaysia adalah antara yang ditahan, beliau berkata, keselamatan mereka adalah keutamaan kerajaan ketika ini.
“Kementerian telah mengarahkan semua perwakilan diplomatik Malaysia yang berhampiran dan di kawasan serantau untuk bersiap-siaga sepenuhnya.
“Mereka turut diminta mengambil langkah proaktif susulan insiden, termasuk menyelaras secara rapi dengan pihak berkuasa dan negara berkaitan,” katanya.
Jelas jurucakap itu, semua perwakilan diplomatik berkenaan sedang giat melakukan pelbagai usaha agar kesemua aktivis tersebut dapat dibebaskan pada kadar segera dengan selamat.
Malaysia katanya, mengecam keras pintasan dilakukan tentera Zionis ke atas semua kapal FFCxTMTGM awal pagi tadi.
“Ia adalah satu bentuk pencerobohan dan tindakan seumpama itu adalah perlanggaran serius terhadap undang-undang, termasuk undang-undang maritim, undang-undang kemanusiaan serta undang-undang hak asasi manusia antarabangsa,” katanya.
Tegas beliau, Malaysia tetap teguh dalam solidariti bersama Palestin dan tidak pernah gentar dalam menyatakan sokongan.
“Komitmen kerajaan tidak akan berubah dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin dan menghentikan genosid di Gaza,” katanya. - Getaran, 8 Oktober 2025


