Pada minggu lepas, syarikat pembangun teknologi AI Anthropic telah memperkenalkan model AI terbaru mereka yang dinamakan Claude Mythos, yang mana menurut Anthropic, ialah model AI paling moden mereka.
Terkini, ia telah dilaporkan bahawa Claude Mythos kini sedang diuji oleh beberapa badan kerajaan Amerika Syarikat kerana kemampuan terbarunya yang dilihat boleh mengautomasikan banyak tugasan rumit, khususnya berkaitan keselamatan perisian, dan juga sistem kecerdasan buatan yang dilihat boleh memanfaatkan dan juga memberi risiko kepada kerajaan dan rakyat negara tersebut.
Center for AI Standards and Innovation di bawah Commerce Department Amerika Syarikat baru-baru ini dilaporkan telah menguji kemampuan model AI tersebut untuk melihat keberkesanannya jika digunakan untuk tugasan menguji model-model AI lain dari dalam dan luar negara untuk melihat jika ia mendatangkan manfaat atau mudarat kepada kerajaan.

Tiga lagi jawatankuasa kongres Amerika Syarikat juga telah bertemu untuk membincangkan tentang kemampuan Claude Mythos, dan melihat bagaimana teknologi AI ini boleh membantu badan-badan keselamatan negara untuk menguatkan lagi rangkaian dan keselamatan digital negara tersebut, yang telah melihat banyak serangan siber berskala besar dari luar negara kebelakangan ini.
Perkara ini juga telah disahkan sendiri oleh Jack Clark, salah satu pengasas Anthropic yang juga memegang jawatan Ketua Kebajikan Awam (Head of Public Benefit) di syarikat tersebut, yang mengesahkan bahawa Anthropic telah menemui beberapa badan kerajaan Amerika Syarikat untuk berbincang tentang pelancaran Claude Mythos, dan keupayaannya untuk menguatkan lagi benteng pertahanan siber negara.
Pada bulan Februari 2026, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth telah mengumumkan bahawa semua badan kerajaan tidak lagi dibenarkan untuk menggunakan produk AI oleh Anthropic, kerana syarikat tersebut melarang teknologi AI mereka digunakan untuk tujuan membunuh dalam peperangan pada ketika itu.
Claude Mythos nampaknya sebuah model AI yang tidak boleh diendahkan oleh badan-badan kerajaan Amerika Syarikat, walaupun ironinya ialah Anthropic merupakan sebuah syarikat yang ditubuhkan di Amerika Syarikat, dan merupakan salah satu daripada syarikat AI yang dilihat bertanggungjawab memperlihatkan banyak kes penggunaan AI secara lebih produktif, khususnya dalam arena pengaturcaraan dan pembangunan teknologi yang lain, dan kini, sekuriti IT.




