
JOHOR BAHRU: Hujan lebat kira-kira dua jam menyebabkan beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini dilanda banjir kilat, termasuk Kampung Tuah Jaya, Taman Perling, Kampung Sri Serdang, Kampung Hajah Hasnah dan Kampung Pasir Tampoi.
Turut terjejas ialah kawasan Jalan Sungai Chat berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maktab Sultan Abu Bakar serta kawasan Wisma Persekutuan Johor Bahru yang menyaksikan beberapa kenderaan ditenggelami air.
Keadaan banjir di Kampung Pasir, Tampoi turut mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling, P. Pannir Selvam yang turun meninjau keadaan penduduk terjejas.
Beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu sentiasa memantau keadaan pam air di kawasan berisiko bagi memastikan kemudahan itu berada dalam keadaan baik dan dapat berfungsi ketika hujan lebat.
“Ini setiap kali banjir, pam rosak. Ini yang saya dapat aduan daripada penduduk di sini. Kalau pam tidak rosak, tidak akan berlaku banjir sebegini. Ini bukan kali pertama banjir berlaku di Kampung Pasir, Tampoi. Sudah banyak kali berlaku apabila hujan lebat, ditambah pula dengan keadaan air pasang.
“Kalau pam air berfungsi, banjir seperti ini tidak akan berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di kawasan berkenaan.
Banjir yang berlaku di Kampung Pasir, Tampoi menyebabkan lebih 200 rumah dimasuki air, selain menjejaskan pergerakan penduduk serta kenderaan di kawasan berkenaan.-UTUSAN
The post Beberapa kawasan di Johor Bahru dinaiki air susulan hujan lebat appeared first on Utusan Malaysia.





![[KEMASKINI] Lelaki 27 rekod jenayah ditahan curi lori hijau](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/photo-output-28-1024x768.jpeg)
