Lelaki curi lori berwarna hijau miliki 27 rekod lampau, positif dadah

30 Sep 2026 • 6:54 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lelaki curi lori berwarna hijau miliki 27 rekod lampau, positif dadah

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang bertindak mencuri sebuah lori sebelum dikejar beberapa kereta peronda polis ditahan di kawasan pusat bandar Pasir Gudang, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, suspek lelaki tempatan berusia 30-an itu mempunyai 27 rekod kesalahan lampau, serta turut positif dadah jenis methamphetamine.

Menurutnya, beberapa rakaman video berkenaan kejadian tersebut turut tular di media sosial.

“Suspek dipercayai mencuri lori tersebut di kawasan Plentong, sebelum polis menerima maklumat kenderaan itu dikesan berada di Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, Pasir Gudang.

“Ketika diburu, suspek turut bertindak merempuh sebuah kereta peronda polis ketika cuba meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Sohaimi, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai 27 rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah, manakala ujian urin menunjukkan suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Pemeriksaan terhadap suspek turut mendapati dia memiliki satu beg plastik lutsinar dipercayai mengandungi dadah,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan; Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu, beberapa rakaman video tular memaparkan sebuah lori berwarna hijau dipandu secara merbahaya bagi melarikan diri daripada ditahan beberapa kereta peronda polis.

Turut tular rakaman video memaparkan beberapa anggota polis bertindak cuba menahan suspek lelaki tempatan berkenaan.-UTUSAN

The post Lelaki curi lori berwarna hijau miliki 27 rekod lampau, positif dadah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved