Beberapa kawasan di Kuantan dilanda banjir kilat

LocalEnvironment
28 Nov 2025 • 10:37 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Antara rumah penduduk di Kampung Sungai Karang Darat yang masih dinaiki air.
image is not available
Hujan lebat dan fenomena air pasang menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan di Kuantan.
image is not available
Pokok tumbang menghempap kabel elektrik di Kampung Sungai Karang Darat, na,un tiada ganggu bekalan elektrik dilaporkan.

KUANTAN - Hujan lebat berterusan sejak Rabu ditambah dengan fenomena air pasang menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat pada Khamis.

Tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di daerah ini bagi menempatkan 232 mangsa daripada 79 keluarga terjejas.

**media[3354743]**

PPS dibuka di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Kuantan yang menempatkan 20 mangsa, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Karang (117 mangsa), SK Kempadang (53 mangsa), SK Pelindung dan SK Beserah (10 mangsa), SK Cerating dan SK Sungai Ular (23 mangsa).

Hasil tinjauan Sinar Harian kira-kira jam 9 pagi pada Jumaat di beberapa kawasan terjejas sekitar Balok dan Beserah di sini mendapati keadaan banjir telah surut kecuali sekitar Sungai Karang Darat.

Beberapa rumah masih digenangi air dan terdapat pokok tumbang menimpa kabel elektrik.

**media[3354742]**

Berdasarkan pemantauan, paras air sungai yang melimpah semakin surut, bagaimanapun hujan masih turun tetapi tidak terlalu lebat.

Sementara itu, berdasarkan info Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, seramai 524 mangsa banjir di negeri ini berada di 22 PPS yang dibuka di empat daerah terjejas iaitu di Raub, Lipis, Maran dan Kuantan sehingga jam 9 pagi Jumaat.