
Kota Kinabalu: Seorang saksi kanak-kanak yang pernah menyoal Zara Qairina Mahathir mengenai kehilangan dompet memberitahu Mahkamah Koroner pada Khamis bahawa dia terkejut apabila mendapati Zara terbaring tidak sedarkan diri keesokan paginya di kawasan asrama mereka.
Peguam Shahlan Jufri berkata saksi kanak-kanak ke-10 itu memaklumkan bahawa kali terakhir dia melihat Zara ialah sekitar jam 9 malam pada 15 Julai, ketika Zara dipanggil ke dormnya untuk menjawab tuduhan berhubung kehilangan dompet yang mengandungi wang tunai dan kad pengenalan.
Beliau berkata lagi, saksi tersebut memberitahu mahkamah bahawa dia tidur di bilik dorm lain sekitar jam 10 malam dan mendakwa tidak keluar dari bilik antara tengah malam hingga jam 3 pagi.
“Keesokan paginya, dia dikejutkan oleh seorang rakan yang memberitahunya bahawa Zara terbaring tidak bergerak di bawah asrama mereka.
“Dia berkata dia terkejut melihat keadaan Zara dari tangga aras tiga,” kata Shahlan.
Shahlan berkata saksi kanak-kanak ke-10 itu turut menceritakan bahawa beberapa pelajar lain turut sama menyoal Zara pada malam kejadian.
“Katanya selepas beberapa ketika, dia tidak lagi menyertai perbualan tersebut dan tidak tahu sama ada ada sesiapa yang cuba menghentikan sesi pertanyaan itu,” ujar Shahlan ketika memberi taklimat kepada media selepas prosiding pada Khamis.
Menurut Shahlan, saksi kanak-kanak itu teringat tentang salah seorang pelajar telah memanggil Zara “bodoh” pada waktu itu.
Shahlan turut berkata, saksi tidak melihat sebarang reaksi emosi luar biasa daripada Zara sebelum dia meninggalkan bilik.
Beliau juga memberitahu media bahawa saksi mengesahkan pertemuan dengan Zara pada malam 15 Julai itu merupakan sama ada mesyuarat MA (Mesyuarat Asrama) atau MB (Mesyuarat Bilik).
“Saksi memberitahu koroner bahawa adalah perkara biasa bagi pelajar senior menegur pelajar junior yang melanggar peraturan asrama di sekolah.
“Dia turut mengesahkan bahawa perbincangan dengan Zara pada malam itu melibatkan ahli kumpulan yang dikenali sebagai ‘Circle Nineteen’ dan dia juga adalah salah seorang ahli. Semua ahli kumpulan itu berada dalam tingkatan yang sama tetapi tinggal di blok asrama berbeza,” katanya sambil menambah, saksi tidak pasti sama ada kumpulan itu turut menasihati pelajar lain dalam kes disiplin atau kehilangan barang.
Sementara itu, pasukan pemeriksa dokumen forensik dijangka kembali ke Mahkamah Koroner hari ini (Jumaat) bagi fasa kedua analisis dokumen, yang akan disambung pada Isnin dan Selasa.
Pasukan itu terdiri daripada Tay Eue Kam, Dr Dzulkiflee Ismail dan Dr Wan Nur Shuhaila Mat Desa.
Pemeriksaan terbabit akan memberi tumpuan kepada 11 item dokumen baharu yang dikemukakan oleh saksi ke-17, seorang ahli kimia dan pakar DNA, untuk dibandingkan dengan bahan bukti yang telah dikemukakan di mahkamah, serta dokumen yang diserahkan oleh pasukan guaman keluarga Zara.



