Kesan darah pada helaian kertas sepadan dengan DNA Zara: Ahli kimia

8 Oct 2025 • 9:56 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner pada Selasa diberitahu bahawa kesan darah yang ditemui pada helaian kertas yang mengandungi tulisan tangan arwah Zara Qairina Mahathir sepadan dengan profil Deoksiribonukleik Asid (DNA) miliknya.

Ahli kimia Nor Aidora Saedon, 52, berkata kesan darah itu dikesan pada kertas bertanda “Y8”, meliputi bahagian Y8(ii) hingga Y8(vii), serta “Y1”, meliputi Y1(i) dan Y1(ii).

Dalam kenyataan saksinya, Nor Aidora berkata sampel tersebut dianalisis untuk perbandingan DNA dan didapati bahawa kesan darah itu adalah konsisten antara satu sama lain, sepadan dengan profil DNA yang diperoleh daripada spesimen tulang bertanda “WK37” dan dilabelkan sebagai “Zara Qairina Binti Mahathir”.

“Ini menunjukkan bahawa DNA yang dikenal pasti berasal daripada individu yang sama,” katanya sambil menambah, kesan darah yang ditemui pada kertas berlabel “WK15(9)(a)” serta kesan DNA yang dikumpul daripada buku berlabel “WK13” juga sepadan.

Nor Aidora berkata profil DNA bercampur, terdiri daripada seorang penyumbang major perempuan dan sekurang-kurangnya dua penyumbang minor diperoleh daripada kesan darah pada bahagian “Y8(i)” serta daripada kesan DNA pada beg alat tulis bertanda “WK1(a)”, buku “WK9” dan “WK14”, serta selimut berlabel “WK27”.

“Profil DNA yang diperoleh daripada spesimen tulang ‘WK37’ merupakan penyumbang utama dalam sampel bercampur ini manakala penyumbang minor tidak dapat ditentukan secara konklusif,” katanya.

Beliau turut memberitahu koroner bahawa kesan DNA boleh berpunca daripada pemindahan sentuhan, yang boleh berlaku melalui sentuhan atau air liur, dan analisis tersebut dijalankan melalui empat langkah iaitu ekstrasi DNA, kuantitasi DNA, amplifikasi DNA dan elektroforesis DNA.

Nor Aidora, yang pernah terlibat dalam pengendalian insiden MH17 dan mempunyai pengalaman 26 tahun sebagai ahli kimia, memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan sebagai saksi ke-17 dalam inkues kematian Zara.

Beliau turut menjelaskan bahawa helaian kertas “Y1” dan “Y8” adalah saling melengkapi antara satu sama lain.

Menurutnya, beliau memeriksa beg bukti milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanda “Y8” dan menemui sehelai kertas di dalamnya yang mempunyai beberapa kesan darah. Tujuh kawasan telah diambil sampel dan ditanda sebagai “Y8(i)”, “Y8(ii)”, “Y8(iii)”, “Y8(iv)”, “Y8(v)”, “Y8(vi)” dan “Y8(vii)”.

Pada 20 Ogos kira-kira jam 2.15 petang Nor Aidora berkata beliau memeriksa helaian kertas bertanda “Y1” dengan kehadiran Nurul Atiqah Mohd Noh, seorang pemeriksa dokumen dari jabatan yang sama.

Beliau menemui kesan darah pada kertas tersebut dan mengambil dua sampel yang dilabelkan sebagai “Y1(i)” dan “Y1(ii)”.

Terdahulu Nor Aidora memberitahu koroner bahawa beliau menerima sejumlah 37 bahan bukti daripada seorang anggota polis pada 11 Ogos kira-kira jam 7.05 malam yang terdiri daripada pakaian, barangan peribadi, buku, helaian kertas serta beberapa spesimen biologi termasuk tulang, kuku dan kapas yang mempunyai kesan darah.

Beliau berkata pada 20 Ogos jam 8.28 pagi beliau menerima satu lagi beg bukti bertanda “Y8” daripada seorang lagi pegawai polis.

Menurutnya semua bahan ekshibit diterima dalam keadaan sempurna dan masih ‘intact’.

“Sepanjang proses analisis dijalankan semua bahan bukti berada di bawah penyeliaan langsung saya. Saya boleh mengesahkan bahawa tiada sebarang bahan yang diusik. Setelah analisis selesai saya menutup semula setiap bahan bukti dalam bungkusan asalnya,” kata Nor Aidora.

Dalam keterangannya beliau turut menjelaskan bahawa Asid Deoksiribonukleik (DNA) ialah bahan yang terdapat dalam hampir semua sel manusia dan bersifat unik bagi setiap individu kecuali kembar seiras kerana ia mengandungi maklumat genetik yang diwarisi daripada kedua-dua ibu bapa.

“Terdapat bahagian tertentu dalam DNA yang berbeza antara individu. Dengan menganalisis 21 lokus genetik, satu profil DNA yang unik dapat dihasilkan melalui proses yang dikenali sebagai pemprofilan DNA,” tambahnya. Jabatan di Malaysia dilengkapi dengan peralatan bertauliah antarabangsa seperti Real-Time PCR, Thermal Cycler dan Genetic Analyser serta mengikuti prosedur forensik yang diterima di peringkat global.

“Dalam bidang kerja saya, saya biasanya menjalankan analisis DNA terhadap bukti biologi bagi kes forensik seperti pembunuhan, rogol, penentuan bapa, pergaduhan, kes dadah, penculikan, rompakan, pecah rumah dan sebagainya.

“Saya juga sudah banyak kali memberi keterangan di Mahkamah Tinggi, Sesyen, Majistret dan Mahkamah Syariah. Setakat pengetahuan saya, keterangan saya telah diterima oleh Mahkamah,” katanya.

Perbicaraan bersambung dengan keterangan saksi kanak-kanak.