
Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner diberitahu bahawa tiada DNA asing atau DNA lelaki dikesan pada spesimen biologi milik Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir selepas analisis forensik menyeluruh dijalankan oleh Jabatan Kimia Malaysia.
Ahli Kimia Nor Aidora Saedon yang menjalankan analisis tersebut berkata beliau meneliti 37 bahan bukti yang diterima daripada pihak polis antara 11 hingga 20 Ogos untuk mengenal pasti profil DNA milik si mati serta mana-mana individu lain.
Beliau menjelaskan bahawa DNA boleh dipindahkan melalui sentuhan pada permukaan seperti palang tangan, bergantung kepada faktor seperti tempoh sentuhan, jumlah peluh dan pengelupasan sel kulit.
“DNA kesan mungkin wujud melalui sentuhan sengaja atau tidak sengaja. Namun ia boleh hilang sepenuhnya sekiranya permukaan itu dibersihkan atau terdedah kepada cuaca,” katanya.
Nor Aidora yang merupakan saksi ke-17 dalam inkues kematian Zara turut memaklumkan bahawa tidak semua bahan bukti yang sebelum ini dihantar untuk analisis tulisan tangan iaitu item Y2 hingga Y15 diserahkan untuk ujian DNA.
Hanya dua item iaitu Y1 dan Y8 diuji bagi tujuan DNA.
Beliau juga menjelaskan bahawa pakaian yang telah dibasuh amat sukar untuk menghasilkan DNA kesan.
“Kebarangkalian untuk mendapatkan DNA kesan selepas basuhan adalah sangat rendah,” katanya ketika menjawab soalan peguam Rizwandean M Borhan.
Keputusan menunjukkan profil DNA Zara sepadan sepenuhnya dengan spesimen biologi utama yang diuji termasuk tisu, tulang dan kesan darah.
“Tiada DNA asing atau DNA lelaki yang signifikan dikesan pada mana-mana spesimen biologi termasuk kapas calitan, kuku, pakaian dalam dan sampel tubuh,” katanya.
Bagaimanapun beberapa barangan peribadi seperti buku, beg dan selimut menunjukkan profil DNA bercampur yang menurutnya adalah tidak konklusif.
“Profil bercampur ini mungkin berpunca daripada sentuhan biasa atau perkongsian barangan dalam persekitaran asrama,” tambahnya.
Satu bahan bukti utama yang ditandakan sebagai ‘Y8’ yang mengandungi kesan darah yang kelihatan menunjukkan tiga profil DNA - satu utama dan dua kecil - yang menunjukkan kemungkinan kehadiran lebih daripada seorang individu.
Nor Aidora menjelaskan bahawa analisis hanya tertumpu kepada mengenal pasti sumber darah dan tiada ujian lanjut dijalankan terhadap DNA minor kerana jumlahnya yang terlalu kecil dikenali sebagai DNA templat rendah (low-template DNA).
Beliau turut menyatakan bahawa ujian DNA tidak dapat menentukan urutan pemendapan DNA maka tidak dapat dipastikan sama ada darah itu wujud sebelum atau selepas DNA lain pada permukaan yang sama.
Apabila ditanya oleh peguam Azhier Farhan Arisin sama ada DNA minor itu boleh berpunca daripada sentuhan biasa dalam persekitaran seperti perkongsian buku Nor Aidora menjawab “ya”.
Beliau mengesahkan bahawa kesan DNA lemah tersebut tidak menjejaskan kesimpulannya bahawa profil DNA utama sepadan dengan si mati.
Nor Aidora bersetuju dengan peguam Azhier bahawa walaupun terdapat kesan DNA minor profil DNA utama kekal sah, konklusif dan konsisten dengan Zara.
Inkues bersambung dengan saksi seterusnya hari ini (Rabu).


