
PETALING JAYA: Bencana banjir yang melanda Tawau semalam menjejaskan operasi beberapa loji rawatan air (LRA) sehingga mengganggu bekalan yang disalurkan kepada 5,578 akaun pengguna.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, LRA yang dikenal pasti terjejas adalah Apas Balung 1 dan 2, Utara dan Cinta Mata.
Menurutnya, LRA Apas Balung 1 dan 2 dihentikan sementara selepas kawasan loji ditenggelami air sepenuhnya sehingga mengakibatkan kerosakan kepada kemudahan serta komponen utama mekanikal dan elektrikal (M&E).
“Jabatan Air Sabah (JANS) mengambil maklum berhubung gangguan bekalan air yang sedang dihadapi sebahagian pengguna di daerah Tawau, susulan bencana banjir yang menjejaskan pengoperasian beberapa LRA.
“Kami memahami kesulitan yang dialami pengguna dan sedang melaksanakan pelbagai tindakan bagi memulihkan bekalan air secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan.
Joachim berkata, pasukan operasi dan teknikal JANS sedang menjalankan pemeriksaan menyeluruh, selain melaksanakan kerja pembersihan loji dan membaiki komponen rosak bagi membolehkan LRA Apas Balung 1 dan 2 kembali beroperasi.
Katanya, LRA Utara dan LRA Cinta Mata sudah kembali beroperasi manakala pengeluaran air terawat sedang dipertingkat bagi membantu menstabilkan bekalan kepada pengguna.
“Bagi mengurangkan kesan gangguan, JANS Bahagian Tawau turut mengaktifkan pelan mitigasi sementara dengan menghantar bekalan air menggunakan lori tangki ke kawasan yang terjejas.
“JANS memberi jaminan segala usaha sedang dipergiatkan bagi mempercepatkan proses pemulihan dan memastikan sistem bekalan air kembali stabil dengan kadar segera,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri memberi perhatian terhadap penyelesaian jangka panjang menerusi pelaksanaan Projek Skim Bekalan Air Fasa III-Reka Bentuk dan Pembinaan Empangan Tawau yang dijangka siap pada Oktober 2027.
“Projek terbabit bukan sahaja dijangka memperkukuh sistem bekalan air di daerah berkenaan, malah membantu mewujudkan sistem kawalan banjir yang lebih mampan pada masa depan,” katanya.
Setakat pukul 3 petang tadi, mangsa banjir di Tawau mencatatkan 195 orang daripada 66 keluarga yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau. – UTUSAN
The post Bekalan air di Tawau terjejas susulan banjir appeared first on Utusan Malaysia.


![[VIDEO] ‘Banjir sekali pun, majlis tetap jalan’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/WhatsApp-Image-2026-07-25-at-19.58.24-1024x768.jpeg)



