Tawau diisytihar daerah bencana banjir

26 Jul 2026 • 10:16 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Tawau diisytihar daerah bencana banjir

TAWAU: Daerah ini diisytiharkan daerah bencana banjir pada Sabtu, susulan hujan lebat berterusan selama sembilan jam sejak jam 2 pagi, yang turut bertembung dengan air laut pasang, mengakibatkan banyak kawasan dinaiki air, terutamanya kampung, taman perumahan, kebun dan jalan raya.

Pengisytiharan bencana banjir itu dikeluarkan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah  (JPBD) merangkap Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Mohd Shoffian Mohd Said pada jam 8.30 pagi susulan laporan dan maklumat di lapangan daripada agensi dan jabatan berkaitan.

Antara kawasan penempatan penduduk yang dikenalpasti terjejas, termasuklah di sekitar Takada sehingga Batu 15 Jalan Apas, Jalan Tanjung Batu, Jalan Kuhara, Jalan Chong Thien Vun, Jalan Sin On, Jalan Air Panas, Jalan Utara dan Balung.

Manakala, kesan banjir yang berlaku turut menyebabkan aliran trafik di jalan-jalan utama berada dalam keadaan sesak, termasuk laluan alternatif yang menghubungkan antara pusat bandar dengan Lapangan Terbang Tawau.

Tinjauan Daily Express mendapati pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Balai Bomba dan Penyelamat Daerah (BBPD) dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sabah Electricity (SE) giat menjalankan penugasan masing-masing di lapangan terjejas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata pihaknya menyelamatkan 53 mangsa terperangkap banjir dalam kejadian dia Kg Mandar Batu 2, Jalan Apas dan Kg Tanjung Batu Keramat.

“Kami menerima panggilan kecemasan jam 6.50 pagi bagi kejadian di Kg Mandar dan memindahkan lima mangsa terperangkap banjir di kawasan tersebut iaitu seorang lelaki dewasa, dua wanita dan dua kanak-kanak lelaki,” katanya.

Terdahulu pada jam 3.10 pagi, pasukannya menyelamatkan 48 mangsa dari Kg Tanjung Batu Keramat terdiri daripada seorang warga emas lelaki, seorang warga emas perempuan, sembilan lelaki dewasa, 19 wanita, 11 kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan.

Katanya, sepanjang operasi, Bilik Kawalan BBP Tawau turut menerima beberapa panggilan kecemasan berkaitan kejadian banjir kilat di kawasan terjejas seperti Taman Ria 1, Taman Hot Spring, Perumahan Taman Sunshu dan Taman Sri Balung.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Tawau melakukan pemantauan di kawasan berisiko banjir bermula jam 3.55 pagi dengan pasukan digerakkan ke beberapa lokasi berisiko.

Antara kawasan dipantau ialah Mid Valley, Taman Rainbow, Tanjung Batu Keramat dan Jalan Bunga Raya serta mendapati bacaan air di Mid Valley dan Taman Rainbow masing-masing sekitar 0.5 meter, manakala Jalan Bunga Raya merekodkan paras air 0.4 meter, namun masih dalam keadaan terkawal.

Bacaan paras air sungai pada jam 8 pagi ialah 1.6 meter dengan trend menunjukkan penurunan walaupun keadaan cuaca ketika pemantauan masih gerimis.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved