Bekalan air Luyang terganggu, rumah pam rosak akibat tanah runtuh

14 Oct 2025 • 4:51 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

AIR terawat dihantar ke beberapa kawasan perumahan di Luyang sepanjang Jalan Maktab Gaya dan Jalan Kebajikan sementara Jabatan Air mempertimbangkan pelan pemulihan yang sesuai bagi rumah pamnya di kawasan berkenaan.

Kemudahan itu menempatkan tujuh tangki imbangan serta pam utama dan pam simpanan.

Jurucakap jabatan berkenaan berkata lima daripada tangki serta pam tersebut rosak akibat tanah runtuh yang berlaku di kawasan Kolej Gaya pada pertengahan September lalu.

“Cadangan pembaikan rumah pam telah disediakan dan dikemukakan kepada pihak pengurusan atasan jabatan.

“Pihak atasan kini sedang meneliti cadangan tersebut.

“Sementara menunggu keputusan salah sebuah lori tangki kami dihantar secara berkala ke kawasan perumahan terjejas termasuk Taman Lumaku, Taman Seri Gaya dan Taman Seri Menanti,” katanya.

Katanya hos dari kenderaan tersebut disambungkan terus ke tangki bawah tanah di kediaman penduduk.

Bagi rumah yang menempatkan tangki di bahagian belakang — yang sukar dicapai lori tangki — pengguna terpaksa membawa bekas kosong mereka ke lori untuk diisi sebelum dibawa pulang ke rumah masing-masing.

Jurucakap itu berkata jabatan kini bergantung kepada dua tangki imbangan yang masih berfungsi di rumah pam berkenaan untuk menyalurkan bekalan kepada pengguna di bahagian Luyang tersebut.

“Pam sementara telah ditempatkan di kawasan itu bagi membantu usaha ini.

“Pam beroperasi sepenuhnya namun kami dapati tekanan air tidak mencukupi untuk menolak air ke beberapa rumah yang terjejas khususnya rumah di kawasan tanah tinggi atau di hujung saluran agihan.”Disebabkan itu katanya bekalan air paip tidak dapat disalurkan sepanjang masa.

“Bekalan hanya datang secara berselang-seli dan dalam sesetengah kes bertahan sekitar 18 jam sehari,” jelasnya.

Disebabkan proses pemulihan yang sangat perlahan kakitangan jabatan telah memantau keadaan bekalan air di kawasan Luyang tersebut.

“Penyelia dan juruteknik kami telah membuat rondaan di Lorong Tenggiling, Jalan Kuda dan Jalan Maktab Gaya bagi memeriksa keadaan paip utama di sepanjang laluan berkenaan.

“Apabila perlu kerja-kerja ‘flushing’ dilakukan untuk mengeluarkan udara yang terperangkap dalam sistem agihan.” ujarnya.

Tindakan itu diambil susulan maklum balas daripada penduduk di Taman Lumaku dan Taman Seri Gaya mengenai masalah bekalan air yang mereka alami sejak sebulan lalu.

Seorang penduduk berkata air hanya keluar sedikit dari paip di laman rumahnya pada waktu tertentu, manakala seorang lagi memaklumkan air hanya mengalir “beberapa minit” sekali atau dua kali sehari.

Sementara itu jabatan juga memantau keadaan peralatan di rumah pam Bukit Sepanggar, Manggatal.

Jurucakap tersebut berkata perhatian khas diberikan bagi mengaktifkan semula pam yang digunakan setiap hari sekiranya perlu dilakukan secara manual.

“Petugas yang dipertanggungjawabkan untuk tugas ini telah diingatkan supaya lebih peka terhadap sebarang gangguan bekalan elektrik di kawasan tersebut dan segera ke rumah pam selepas bekalan elektrik dipulihkan.

“Dalam beberapa keadaan mereka perlu menghidupkan pam secara manual selepas bekalan elektrik kembali.” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pam berkenaan dikendalikan oleh sistem automatik.

“Sebuah penderia sepatutnya mematikan pam apabila paras air dalam tangki rendah dan menghidupkannya semula apabila paras air mencapai tahap yang ditetapkan.” tambahnya.

Jurucakap itu memberi penjelasan berhubung aduan seorang penduduk Taman Indah Permai yang kehilangan bekalan air selama beberapa hari baru-baru ini.

Wanita itu cuba menghubungi talian Careline Jabatan Air untuk mendapatkan maklumat mengenai keadaan di kawasan perumahannya namun mendakwa talian berkenaan sama ada sibuk atau tidak dijawab setiap kali dia menghubungi.

Jurucakap itu berkata masalah pada pam harian menjadi punca kesukaran yang dialami pengguna tersebut.

“Juruteknik kami telah menyelesaikan masalah itu.

“Mereka turut memeriksa keadaan paip utama yang menghala ke meter rumah berkenaan pada hari sama kami dihubungi oleh pihak media.” katanya.

Beliau berkata kakitangan jabatan mengesahkan bekalan telah sampai ke meter.

“Tekanan air pada masa itu didapati berada pada tahap yang memuaskan.” Walau bagaimanapun katanya jabatan akan terus memantau bekalan air ke kawasan perumahan itu dari semasa ke semasa bagi memastikan pengguna menerima bekalan air paip secara konsisten.