Penderitaan rakyat tidak harus dijadikan modal politik, kata Perdana Menteri

LocalPolitics
27 Sep 2025 • 2:39 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu-isu rakyat seperti banjir, sekolah daif, rumah rosak, jalan berlubang serta masalah elektrik dan air kekal menjadi keutamaan kerajaan, namun perkara itu tidak harus dijadikan modal politik atau bahan kempen pilihan raya.

“Ini soal rakyat. Sekolah rosak, rumah rosak, sungai perlu diurus, jalan mesti dibaiki, masalah elektrik dan air mesti diselesaikan,” katanya.

Beliau turut menyatakan rasa kurang senang apabila melihat isu kemiskinan hanya dijadikan bahan menjelang pilihan raya.

“Ramai ahli politik begitu. Bila dekat pilihan raya, baru usap kepala anak-anak, baru masuk kampung. Tidak. Parti kita prihatin setiap masa,” katanya pada majlis Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) sempena 27 Tahun Reformasi di Dewan Pisompuruan, Kampung Kobuni, Inanam, Jumaat.

Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden Keadilan, berkata penurunan harga minyak adalah bukti keprihatinan kerajaan.

“Pada 30 haribulan ini harga minyak turun. Untuk Sabah dan Sarawak, walaupun naik di tempat lain, di sini tidak. Sebab Sabah dan Sarawak sebahagian daripada Malaysia sejak 1963,” katanya, sambil menambah ia adalah soal menegakkan keadilan untuk Sabah dan Sarawak.

Beliau menegaskan projek pembangunan banyak tertumpu di Sabah kerana negeri ini berdepan cabaran lebih besar.

Anwar turut berkongsi pengalamannya melawat sebuah sekolah rendah yang rosak akibat banjir.

“Kalau anak saya sendiri, saya tidak sanggup mereka belajar begitu. Untuk anak orang lain pun tidak boleh diterima. Itu dasar kita, menjaga kepentingan rakyat,” katanya.

Anwar menegaskan pemimpin mesti menunjukkan teladan baik.

“Berapa tahun jadi menteri? Berapa banyak harta dikaut? Itu mesti dipersoalkan. Pemimpin mesti jadi contoh,” katanya sambil memaklumkan beliau tidak mengambil gaji Perdana Menteri sejak 2022, manakala semua menteri memotong gaji sebanyak 20 peratus.

“Supaya rakyat tahu tidak semua pemimpin mahu rompak harta rakyat. Ini penting,” katanya.

Beliau juga menegaskan tidak pernah meminta tanah, projek atau keistimewaan khas di Sabah.

“Adakah saya minta tanah? Tidak. Projek? Tidak. Isteri? Pun tidak. Satu cukup, Azizah,” katanya berseloroh.

Menyentuh isu kaum dan agama, Anwar mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan politik perpecahan.

“Di Sabah, kita jaga Melayu, Cina, Kadazan, Dusun, Bajau, Murut, semua. Negeri ini akan musnah jika politik perkauman dan agama terus dimainkan,” katanya.

Beliau menegaskan perpaduan adalah kunci untuk mendapat penghormatan dunia.

“Semalam (Khamis) Presiden Donald Trump hubungi saya. Kalau negara kucar-kacir, siapa mahu hormat kita? Kalau bersatu, mereka datang. Oktober ini ramai pemimpin dunia hadir ke Kuala Lumpur,” katanya.

Mengenai usaha membanteras rasuah, Anwar berkata tindakan tegas akan diteruskan.

“Kalau ada bukti rasuah, SPRM masuk. Kalau salah, dihukum, dipenjara. Berbilion wang rakyat yang dicuri mesti dikembalikan,” katanya.

Anwar menegaskan beliau boleh memaafkan ketidakadilan terhadap dirinya, tetapi bukan pencurian wang rakyat.

“Itu bukan dendam, itu wang rakyat,” katanya.

Mengenai pembangunan Sabah, Perdana Menteri berkata peruntukan untuk negeri ini adalah tertinggi dalam sejarah negara.

“Banyak masalah belum selesai, tapi proses berjalan,” katanya sambil menekankan kepentingan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Kalau Kerajaan Negeri bekerjasama, perbincangan lebih mudah. Apa sahaja projek diperlukan, kita luluskan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat bahawa kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak akan ditambah, satu perjuangan sejak 1963.

“Siapa luluskan? Perdana Menteri sekarang,” katanya.

Anwar berkata bantuan rakyat turut dipertingkatkan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

“Bagi 2025 sahaja, STR berjumlah RM15 bilion,” katanya.

Beliau menambah gaji penjawat awam juga telah dinaikkan tahun ini dengan tambahan RM10 bilion, manakala RM18 bilion lagi disediakan tahun depan.

“Saya akan bentangkan Belanjawan Negara, insya-Allah ada berita baik untuk Sabah,” katanya.

Anwar menegaskan kuasa mesti digunakan untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Apabila kita mempunyai kuasa, itulah masa untuk lakukan yang terbaik. Harapan saya rakyat bersatu, anak-anak kita ada peluang dan masa depan lebih baik,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sabah yang terus menyokongnya sepanjang perjuangan politik selama puluhan tahun.

“Saya tak boleh lupa sokongan itu. Inilah wajah keadilan, wajah semua kaum, berhimpun sebagai satu pasukan untuk perubahan di Sabah dan Malaysia.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli ParlimenSepanggar Datuk Mustapha Sakmud, Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri merangkap Adun Inanam Datuk Peto Galim serta pimpinan PH dan Keadilan peringkat nasional dan negeri.