Bekalan barang keperluan stabil, rakyat diminta tidak panik

LocalBusiness & Finance
5 Nov 2026 • 3:18 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Bekalan barang keperluan stabil, rakyat diminta tidak panik

SHAH ALAM, 5 NOV: Kerajaan memberi jaminan bekalan barangan keperluan negara kekal stabil meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik global dan ancaman musim tengkujuh.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata penyelarasan pelbagai agensi menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) membolehkan rantaian bekalan dipantau bagi mengelakkan sebarang gangguan, lapor Berita Harian.

Menurutnya, kerajaan turut mengambil serius perkembangan konflik di Asia Barat yang berpotensi menjejaskan bekalan antarabangsa, namun keadaan dalam negara masih terkawal.

"Kerajaan mengambil perhatian serius terhadap perkembangan geopolitik global termasuk konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada bekalan antarabangsa.

"Namun, melalui pendekatan merentasi pelbagai pihak diselaraskan MTEN, kita berupaya memastikan rantaian bekalan dalam negara tidak terganggu. Model sedia ada ini akan terus diguna pakai," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran Tealive Sparkling Crafted Tea-Prebiotic Soda di Kuala Lumpur, hari ini.

Armizan turut menasihatkan rakyat supaya tidak membuat pembelian panik susulan langkah beberapa negara luar menggalakkan penduduk menyimpan stok barangan keperluan.

Katanya, situasi di negara terbabit berbeza kerana turut dipengaruhi cuaca ekstrem seperti musim sejuk dan taufan.

"Alhamdulillah, sehingga kini tiada isu besar berhubung gangguan bekalan dalam negara," katanya.

Mengulas persediaan menghadapi musim tengkujuh, Armizan berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkukuh pemantauan menerusi Jawatankuasa Teknikal Penstabilan Bekalan dan Harga yang dipengerusikan Ketua Setiausaha kementerian.

Menurutnya, jawatankuasa itu bermesyuarat setiap dua bulan bagi memastikan bekalan barangan keperluan sentiasa mencukupi, bukan hanya bertindak apabila berlaku gangguan.

"Kita tidak melihat ini sebagai isu terpencil, kita perlu sentiasa bersiap siaga, namun pada masa sama kita harap rakyat tidak panik," katanya.

Beliau menegaskan semua mekanisme sedia ada akan diaktifkan bagi memastikan rakyat tidak berdepan kesukaran mendapatkan barangan keperluan sepanjang tempoh berkenaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved