Bekalan beras negara cukup untuk lebih enam bulan

4 Aug 2026 • 12:46 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Bekalan beras negara cukup untuk lebih enam bulan

KUALA LUMPUR: Bekalan beras negara kekal stabil dengan stok semasa mampu menampung keperluan sehingga lebih enam bulan dan menjadi benteng utama negara, sekiranya berlaku krisis bekalan makanan di peringkat global.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, ketersediaan bekalan makanan negara dipastikan berada pada tahap optimum melalui beberapa strategi.

Menurutnya, stok fizikal beras semasa negara mencapai sebanyak 1,237,303 tan metrik sehingga 30 Jun lalu.

“Ini merangkumi 200,000 tan metrik stok penimbal beras negara dan 1,037,303 tan metrik stok dagangan.

“Jumlah stok ini adalah stabil dan mencukupi bagi menampung keperluan dalam tempoh 6.19 bulan,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli mengenai stok penimbal makanan negara, sama ada cukup untuk menghadapi krisis bekalan dan kenaikan harga mendadak.

Mengenai bekalan ikan, Foong Hin berkata, status simpanan stok ikan di bawah seliaan persatuan nelayan adalah berjumlah 252.48 tan metrik.

Katanya, status simpanan stok ikan pemain industri pula berjumlah 9,690 tan metrik, menjadikan jumlah anggaran simpanan sebanyak 10,000 tan metrik.

“Ia mampu menampung permintaan selama dua hari keperluan tempatan berdasarkan permintaan bulanan sebanyak 139,128 tan.

“Walaupun demikian, kekerapan pendaratan dan kuantiti tangkapan ikan kekal stabil setiap bulan,” katanya.

Tambahnya, pengurusan beras negara pada masa ini adalah yang paling kukuh dan tersusun.

“Sebagai makanan ruji utama, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengekalkan stok penimbal beras fizikal yang dikendalikan oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

“Serta stok dagangan yang mampu bertahan sekurang-kurangnya enam bulan sekiranya berlaku krisis bekalan global yang mendadak.

“Mekanisme ini disokong oleh subsidi kerajaan bagi mengawal harga beras putih tempatan, menjadikannya penampan yang sangat stabil berbanding komoditi makanan lain apabila berlaku lonjakan harga di pasaran luar,” katanya. – UTUSAN

The post Bekalan beras negara cukup untuk lebih enam bulan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved