Trump ancam serangan lebih dahsyat terhadap Iran

WorldPolitics
1 Aug 2026 • 9:02 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Trump ancam serangan lebih dahsyat terhadap Iran

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengancam melancarkan serangan lebih dahsyat terhadap Iran, ketika laporan media negara itu menyatakan Washington sedang mempertimbangkan operasi ketenteraan baharu seawal hujung minggu ini, termasuk menyasarkan infrastruktur tenaga.

Konflik yang memasuki bulan keenam itu tercetus pada 28 Februari apabila AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran, sebelum kedua-dua pihak terus berbalas serangan tanpa sebarang petunjuk perang akan berakhir dalam masa terdekat.

“Kami akan menyerangnya dengan sangat kuat dan pada satu ketika nanti mereka akan berkata, ‘Kami sudah tidak mampu menanggungnya lagi,'” kata Trump ketika mempengerusikan mesyuarat Kabinet di pusat peranginan presiden, Camp David, Maryland, semalam.

The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan Trump mengarahkan persiapan bagi satu lagi serangan yang bertujuan meningkatkan tekanan ke atas Teheran supaya menyerah kalah, dengan operasi itu berkemungkinan bermula seawal hujung minggu ini, memetik pegawai AS yang enggan dikenali.

Dalam perkembangan berkaitan, CBS News melaporkan AS dan Israel sedang menyelaraskan rancangan untuk melancarkan serangan bersama ke atas sasaran berkaitan sektor tenaga, termasuk loji penapisan minyak dan stesen janakuasa, yang dijangka dilaksanakan sepanjang hujung minggu.

Sejak konflik tercetus, Trump beberapa kali mengancam untuk menyasarkan infrastruktur kritikal Iran. Minggu lalu, beliau berikrar akan memusnahkan sebuah jambatan atau loji janakuasa setiap kali kapal diserang di Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik yang menjadi nadi perdagangan tenaga global.

Bagaimanapun, menurut CBS, Trump masih belum memberikan kelulusan muktamad untuk melancarkan kempen serangan itu, walaupun Washington dan Tel Aviv dilaporkan terus menyelaras perancangan operasi berkenaan, menurut beberapa sumber yang enggan dinamakan.

Laporan itu dibuat hanya beberapa hari selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengunjungi Washington untuk mengadakan pertemuan dengan Trump dan Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth.

Menurut CBS News, beberapa pegawai kanan Rumah Putih turut menyuarakan bantahan keras terhadap cadangan serangan itu ketika mesyuarat Kabinet berlangsung.

Sekiranya rancangan itu diteruskan, ia akan menjadi kali pertama Israel menyertai serangan ke atas Iran sejak fasa awal peperangan berkenaan.- AFP

The post Trump ancam serangan lebih dahsyat terhadap Iran appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved