liza31/07/2026 - 18:13 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 31 Julai – Duopharma Biotech Bhd terus mengekalkan peranannya sebagai pembekal produk farmaseutikal kepada Kementerian Kesihatan (KKM) apabila kontrak pembekalan sedia ada dilanjutkan selama enam bulan lagi bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2027.
Lanjutan itu diberikan melalui notis yang diterima tiga anak syarikat milik penuhnya daripada Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd, syarikat yang menguruskan pembekalan produk di bawah senarai pembelian produk diluluskan KKM.
Tiga anak syarikat tersebut ialah Duopharma (M) Sdn Bhd, Duopharma Manufacturing (Bangi) Sdn Bhd dan Duopharma HAPI Sdn Bhd yang masing-masing terlibat dalam membekalkan pelbagai produk farmaseutikal kepada kementerian berkenaan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Duopharma berkata lanjutan kontrak itu akan berkuat kuasa sehingga 30 Jun 2027 atau tarikh lain yang akan ditetapkan oleh kerajaan.
“Kontrak asal pembekalan berkenaan sebelum ini dijadualkan berakhir pada 31 Disember 2026.
Skop Pembekalan Dikurangkan Sedikit
“Bagaimanapun, skop pembekalan bagi tempoh lanjutan itu menyaksikan sedikit pengurangan apabila hanya melibatkan 97 produk berbanding 100 produk di bawah perjanjian asal.
“Duopharma (M) tidak lagi membekalkan satu produk, manakala Duopharma Manufacturing (Bangi) pula tidak meneruskan pembekalan dua produk sepanjang tempoh lanjutan tersebut,” katanya.
Walaupun terdapat pengurangan dalam bilangan produk, lanjutan kontrak itu memastikan kesinambungan bekalan ubat kepada KKM sementara kerajaan meneruskan proses perolehan bagi kontrak baharu.
Duopharma bagaimanapun tidak mendedahkan nilai kontrak lanjutan berkenaan, sekali gus menjadikan impak kewangan terhadap kumpulan belum dapat dinilai secara terperinci.
Pharmaniaga Logistics merupakan anak syarikat milik penuh Pharmaniaga Bhd. yang bertanggungjawab menguruskan pembekalan produk farmaseutikal kepada fasiliti kesihatan kerajaan.
Dari sudut pemegangan saham, Permodalan Nasional Berhad (PNB) merupakan pemegang saham terbesar Duopharma dengan pegangan sebanyak 43%, manakala Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai kepentingan tidak langsung sebanyak 8.86% dalam syarikat tersebut. - DagangNews.com






