
Kota Kinabalu: Bekalan elektrik kepada kira-kira 230,000 pengguna di Pantai Timur Sabah pulih sepenuhnya pada Rabu malam selepas beberapa hari terganggu berikutan kerosakan pada talian penghantaran utama negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor memuji komitmen dan dedikasi kakitangan serta pasukan teknikal Sabah Electricity atas pencapaian tersebut.
“Pengorbanan dan usaha tanpa mengenal penat lelah seluruh pasukan teknikal dan kakitangan Sabah Electricity yang bekerja siang dan malam bagi memastikan talian penghantaran berjaya disambung semula amatlah terpuji.
“Ia sememangnya pencapaian besar yang mencerminkan komitmen, kepakaran dan semangat luar biasa pasukan ini.
“Penghargaan juga diberikan kepada pasukan keselamatan yang membantu mengurus bencana banjir,” katanya.
Hajiji berkata talian penghantaran 275kV KLPS–SGLD (Laluan 1) berjaya disambung semula pada jam 8.10 malam, sekali gus membolehkan Sandakan Island disambung ke grid Sabah.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) Datuk Mohd Yaakob Jaafar berkata sejumlah 200 megawatt (MW) bekalan elektrik disalurkan dari Pantai Barat ke Pantai Timur Sabah melalui talian penghantaran 275kV Kolopis-Segaliud yang kembali beroperasi Rabu lalu.
Katanya, talian penghantaran itu berjaya disambung pada 8.10 malam selepas pemasangan menara Sistem Pemulihan Kecemasan (ERS) disiapkan.
“Dari Kolopis ke Segaliud, kita menyelaras dengan Sandakan Island melalui Pencawang Masuk Utama (PMU) Seguntor di Pelabuhan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Sandakan.
“Dari Segaliud Sandakan, bekalan elektrik disalurkan ke PMU Dam Road, Lahad Datu, untuk memenuhi keperluan di Tawau Island,” katanya.
Beliau berkata Sabah Electricity menggunakan operasi dua island, iaitu Sandakan Island dan Tawau Island, bagi menangani gangguan bekalan elektrik di Pantai Timur.
“Tawau Island melibatkan Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau, manakala Sandakan Island melibatkan Beluran, Kinabatangan dan Sandakan,” katanya.
Katanya, pemulihan bekalan elektrik itu turut menyelesaikan masalah bekalan air di Sandakan yang terjejas akibat ketiadaan kuasa di Loji Air Segaliud.
Tambahnya, Sabah Electricity akan segera melaksanakan talian bekalan Pencawang Pembahagian Utama (PPU) di Tawau untuk menangani isu elektrik di daerah tersebut.
“Kita pada mulanya menjangka pemulihan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah mengambil masa lapan hari, namun ia disiapkan dalam tempoh empat hari sahaja.
Jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat,” katanya sambil menzahirkan kesedihan atas pemergian seorang rakan dan kakitangan SE di Keningau baru-baru ini.
Pengumuman itu, yang dikongsi di media sosial rasmi SE menerima lebih 20,000 reaksi dan ribuan komen daripada orang ramai.
Seorang pengguna, Mohd Riduwan, menulis: “Penghargaan kepada wira-wira Sabah Electricity yang mengorbankan masa dan tenaga untuk memulihkan bekalan elektrik.
Walaupun berdepan kesukaran dan kritikan sesetengah pihak, anda tetap berusaha membawa cahaya kepada semua. Semoga Allah membalas jasa anda.
“Bagi kakitangan yang masih hilang selepas menjalankan kerja-kerja pembaikan di Keningau, semoga Allah memudahkan urusan pencarian mereka.”Seorang lagi pengguna menulis: “Terima kasih pasukan Sabah Electricity kerana menjadi wira rakyat Sabah, khususnya 230,000 yang terjejas di Pantai Timur.
Walaupun cuaca buruk dan bencana melanda, anda tetap bekerja tanpa mengenal penat siang dan malam hingga bekalan elektrik dipulihkan. Tahniah semua, anda pejuang sebenar rakyat Sabah.”Pemulihan itu dianggap kejayaan besar dalam menstabilkan grid elektrik Sabah yang terjejas teruk akibat bencana alam baru-baru ini.
Sabtu lalu, Pantai Timur Sabah mengalami gangguan besar selepas dua talian penghantaran 275kV Kolopis–Segaliud terputus apabila sebuah menara penghantaran tumbang susulan tanah runtuh di Kampung Kolopis, Penampang.


