CEO Sabah Electricity Sebak Ketika ‘Live’, Umum Bekalan Elektrik Berjaya Dipulihkan

LocalBusiness & Finance
18 Sep 2025 • 11:29 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

image is not available
CEO Sabah Electricity Sebak Ketika 'Live', Umum Bekalan Elektrik Berjaya Dipulihkan

Bekalan elektrik ke Pantai Timur Sabah yang terputus sejak Sabtu lepas berjaya dipulihkan sepenuhnya malam tadi, lapor Bernama.

CEO Sabah Electricity sebak

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Datuk Mohd Yaakob Jaafar berkata bekalan yang terjejas susulan gangguan talian penghantaran 275kV Kolopis-Segaliud itu kembali beroperasi pada jam 10.20 malam.

“Terima kasih kepada semua wira di lapangan dan di belakang tabir yang bekerja tanpa mengenal penat lelah bagi memastikan pemulihan ini dapat dilaksanakan, serta kepada pengguna atas kesabaran dan sokongan sepanjang tempoh cabaran ini,” katanya.

image is not available

Beliau berkata demikian dalam satu sesi siaran langsung di Facebook Sabah Electricity Careline, malam tadi bagi menjelaskan status terkini bekalan elektrik di kawasan yang terjejas.

image is not available

Bagaimanapun, momen kata-kata itu menjadi tular di media sosial memaparkan beliau sebak sekali gus gagal menahan air mata sebaik menyampaikan bahawa bekalan elektrik dipulihkan.

Difahamkan, SESB menyasarkan tempoh lapan hari bagi proses membaik pulih masalah berkenaan namun berjaya membaiki kerosakan dalam masa empat hari sahaja.

image is not available

Terdahulu pada Sabtu lalu, kawasan Pantai Timur Sabah mengalami gangguan bekalan selepas dua talian penghantaran 275kV Kolopis-Segaliud terputus akibat menara tumbang susulan kejadian tanah runtuh di Kampung Kolopis, Penampang.

SESB memaklumkan menara gantian berjaya didirikan dan dioperasikan, sekali gus menyambung semula bekalan ke kawasan Pantai Timur.

Talian itu menghubungkan Kampung Kolopis di Pantai Barat Sabah dengan Segaliud di Sandakan, Pantai Timur Sabah, bagi memastikan bekalan elektrik stabil di kedua-dua wilayah.

Sumber: Bernama, Facebook Sabah Electricity Careline