
PENDUDUK di sebuah kawasan di Papar kini menikmati bekalan elektrik yang lebih stabil sejak minggu kedua September selepas sebuah substesen baharu mula beroperasi untuk menyalurkan bekalan ke kampung mereka.
Penduduk Kampung Kawakahan sebelum ini tidak dapat menggunakan peralatan elektrik mereka pada kapasiti maksimum selama lebih setahun malah ada juga peralatan yang terpadam sendiri walaupun tidak dimatikan.
Jurucakap Sabah Electricity (SE) berkata substesen baharu itu mula beroperasi pada 11 September iaitu satu setengah bulan lebih awal daripada jadual.
“Kami memulakan kerja pembinaan pada 19 Mei dan jika tiada sebarang halangan sepatutnya siap pada 19 Oktober,” katanya.
“Paras voltan nominal kepada pengguna di Kampung Kawakahan kini telah meningkat kepada sekitar 230 volt.”Katanya sebelum ini penduduk kampung bergantung kepada sebuah substesen terletak kira-kira 2.5 kilometer dari kampung yang hanya membekalkan 210V-215V pada waktu puncak penggunaan elektrik.
Jurucakap itu berkata masalah di Kampung Kawakahan berpunca daripada pembangunan pesat yang berlaku di sekitar daerah berkenaan.
SE telah menyedari masalah ketidakstabilan tersebut sejak awal 2024.
“Kami telah baik pulih transformer sedia ada dan pada mulanya keadaan dilihat stabil. Kemudian kami melaksanakan pengurangan beban (load-shedding) dan turut mencuba memasang talian udara baharu untuk menyalurkan bekalan ke kampung,” katanya.
Pada Januari lalu juruteknik syarikat telah menukar titik tumpuan (tapping points) bagi sebahagian rumah kepada fasa berbeza.
Bagaimanapun beliau berkata semua strategi itu gagal memberikan penyelesaian yang berkekalan.
“Dengan adanya substesen baharu ini kami yakin masalah penurunan voltan di Kampung Kawakahan berjaya diatasi,” katanya.
Seorang penduduk kampung Rian berkata peralatan elektrik di rumahnya tidak berfungsi dengan baik sejak sekian lama.
Katanya lampu di rumah tidak menyala dengan terang sepenuhnya.
“Kadang-kadang lampu terpadam sendiri walaupun kami tidak mematikannya,” ujarnya.
Rian berkata kipas siling di biliknya juga tidak berpusing pada kelajuan sepatutnya.
“Saya akan hidupkan kipas pada tahap maksimum sebelum tidur tetapi beberapa jam kemudian saya akan terjaga kerana panas apabila mendapati kipas sudah terpadam sendiri.
“Kebelakangan ini saya juga perasan peti sejuk mula bergetar dan berbunyi pelik seolah-olah pemampatnya mahu rosak,” katanya.




