Majoriti penduduk mahu pulang, kesal projek Kampung Sungai Baru tertangguh akibat fitnah

23 Sep 2025 • 1:11 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Rindu kampung sendiri menjadi pendorong utama buat majoriti penduduk Kampung Sungai Baru yang kini menetap di rumah transit sejak hampir sedekad lalu. Mereka menegaskan hasrat pulang bukan sekadar kerana kenangan, tetapi juga mahu melihat wajah baharu kampung dengan pembangunan lebih moden.

Bekas pegawai tadbir dan diplomatik (PTD), Abdul Manap Ismail, 86, yang sudah lebih 60 tahun tinggal di situ berkata, keinginan itu dizahirkan kerana percaya projek pembangunan semula mampu membawa manfaat. Katanya, fitnah yang dilemparkan pihak tertentu hanya melambatkan usaha pemaju dan menyekat hasrat ramai penduduk.

“Saya antara yang awal bersetuju pindah, kini tinggal di Residensi Kerinchi. Kalau projek tangguh pun saya reda, tetapi tanah itu hak saya. Saya mesti pulang ke sana juga,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Baca juga:

Sokongan kepada pembangunan moden

Ahli Jawatankuasa Persatuan Pemilik Hartanah dan Kebajikan Kampung Sungai Baru, Moerdani Kamsah, 55, berpendapat projek ini harus dilihat sebagai peluang kemajuan, bukan isu untuk dipolitikkan.

Rumah transit yang kami duduki percuma ini tak sama dengan rumah sendiri. Saya mahu balik kerana saya lahir di situ. Dulu rumah flat hanya ada satu bilik untuk tujuh orang. Selepas projek siap, kami dapat unit lebih luas, tiga bilik, tiga tandas dan dua parkir. Itu kemajuan sebenar,” katanya.

image is not available
Sebahagian kawasan Kampung Sungai Baru | Kredit gambar: Kosmo! Online

Keyakinan terhadap pemaju

Warga emas lain, Zamanudin Sulong, 73, turut senada. Menurutnya, beberapa siri mesyuarat bersama persatuan dan pemaju memberi keyakinan bahawa projek itu akan membawa manfaat besar.

“Kami marah bila ada pihak jadikan isu ini bahan fitnah. Sedangkan kami tahu perancangan sebenar,” katanya yang menetap di situ sejak 1950-an.

Bagi majoriti penduduk, pulang ke Kampung Sungai Baru bukan sekadar menuntut hak pusaka, tetapi juga menantikan wajah baharu kampung yang bakal menjanjikan keselesaan dan peningkatan ekonomi setempat.