
SANDAKAN: Pengguna di daerah ini dinasihatkan agar tidak membuat pembelian panik gula memandangkan bekalan adalah mencukupi.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan, Azdy Zukkry John, berkata hasil pemeriksaan Khamis lepas di gudang pemborong barang kawalan berkenaan mendapati secara keseluruhannya, bekalan semasa gula paket 1kg di daerah ini adalah sebanyak 122.628 metrik tan.
Jelasnya, semakan juga mendapati bekalan gula paket 1kg sebanyak 358.56 metrik tan juga dijangka akan tiba di Sandakan pada 19 Disember ini.
Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan turut mengambil inisiatif dan tindakan proaktif dengan membuat pemantauan dan pemeriksaan kedudukan bekalan barang keperluan khasnya gula di daerah Sandakan pada dan aktiviti ini akan dijalankan secara berterusan.
Azdy berkata demikian selepas melakukan pemantauan bersama empat pegawai penguatkuasa KPDN di sebuah premis pemborong berkenaan di sini, Khamis lalu.
Jelasnya, seramai 17 orang pegawai penguatkuasa dan lapan orang Pegawai Pemantau Harga KPDN Cawangan Sandakan juga terbabit secara khusus bagi melakukan pemeriksaan di lokasi tumpuan pengguna berbelanja di sini.
Tambah Azdy, bagi memastikan bekalan barang-barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung gandum tidak terputus serta dijual pada harga yang ditetapkan oleh Kerajaan, KPDN Sandakan mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan kumpulan WhatsApp bersama Peruncit Terpilih Daerah.
Melalui langkah ini, KPDN Sandakan dapat memantau situasi bekalan barangan kawalan terbabit di setiap DDR yang dilantik di peringkat bandar dan luar bandar di sini.
Selain daripada itu, KPDN juga akan membuat pemeriksaan mengejut secara berkala di setiap DDR yang dilantik.
KPDN Sandakan ingin mengingatkan semua peniaga di daerah ini agar mematuhi segala undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDN dan memastikan tidak berlaku aktiviti menyorok barang kawalan.
Jelas Azdy, di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
