amree02/11/2026 - 18:15 Gambar BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Nov — Malaysia mempunyai kapasiti bekalan makanan mencukupi untuk sekurang-kurangnya enam bulan, sekali gus tidak memerlukan kerajaan mengambil langkah kecemasan bagi menghadapi kemungkinan gangguan bekalan barangan keperluan asas ketika ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tahap keterjaminan makanan negara pada ketika ini berada pada kedudukan baik dan kerajaan sentiasa memastikan bekalan barangan keperluan asas adalah mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat.
"Kapasiti simpanan makanan di seluruh negara masih mampu bertahan sekurang-kurangnya selama tempoh enam bulan membolehkan Malaysia menghadapi kemungkinan gangguan bekalan tanpa perlu melaksanakan langkah persediaan luar biasa," jelas beliau.
Beliau menegaskan perkara tersebut kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Kerjasama Malaysia-China dalam Pelaburan, Perdagangan dan Pemerkasaan Ekonomi di Kuala Lumpur pada Isnin.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak melihat keperluan untuk mengarahkan rakyat membuat persediaan menyimpan bekalan makanan dan barangan keperluan asas secara besar-besaran kerana negara tidak berada dalam keadaan darurat.
Kenyataan itu dibuat susulan laporan mengenai beberapa negara yang mula mengeluarkan panduan kepada penduduk masing-masing supaya menyediakan stok makanan, air minuman dan barangan keperluan asas bagi menghadapi kemungkinan krisis.

Sekurang-kurangnya 33 negara dilaporkan mempergiat langkah kesiapsiagaan berikutan pelbagai ancaman global, termasuk konflik bersenjata, cuaca ekstrem, gangguan bekalan elektrik serta serangan siber.
Antara negara yang mengambil langkah berkenaan ialah Perancis dan United Kingdom, yang menyarankan penduduk menyediakan bekalan makanan, air dan keperluan asas untuk tempoh sekurang-kurangnya 72 jam atau tiga hari.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menegaskan Malaysia tidak berdepan dengan keadaan yang memerlukan pendekatan sama kerana tahap keterjaminan makanan serta kapasiti simpanan negara masih mencukupi.
"Kerajaan turut memberi jaminan akan terus memastikan bekalan makanan dan barangan keperluan asas tersedia bagi memenuhi keperluan rakyat serta individu yang berada di negara ini," jelasnya.
Sehubungan itu, kerajaan ketika ini tidak melihat keperluan untuk melaksanakan langkah kecemasan seperti yang diperkenalkan beberapa negara lain, sebaliknya akan terus memantau kedudukan bekalan makanan bagi memastikan keterjaminan makanan negara kekal terpelihara. - DagangNews.com





