amree02/11/2026 - 17:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Nov — Industri makanan dan minuman (F&B) tempatan kehilangan seorang tokoh usahawan apabila pengasas rangkaian restoran Boat Noodle dan BananaBro, Tony Lim meninggal dunia pada usia 47 tahun.
Pemergian mendiang diumumkan menerusi hantaran berasingan di Facebook rasmi kedua-dua jenama restoran itu pada Isnin, yang turut mengenang sumbangan serta legasi mendiang dalam membangunkan perniagaan makanan di Malaysia.
BananaBro dalam kenyataannya berkata, sumbangan Lim melangkaui cita-cita peribadi sendiri apabila mendiang mempunyai impian untuk membawa budaya hidangan nasi daun pisang Malaysia ke pentas antarabangsa.
"Impian berkenaan menjadi antara legasi penting yang ditinggalkan Lim dan pihak kami berikrar tetap meneruskan perjuangan mendiang dalam mengembangkan jenama BananaBro," menurut hantaran tersebut.
Kata akaun laman sosial berkenaan, semangat serta keprihatinan mendiang terhadap individu di sekelilingnya akan terus dikenang menerusi setiap hidangan nasi daun pisang yang disajikan kepada pelanggan.
Sementara itu, Boat Noodle menyifatkan Lim sebagai individu yang tidak mudah berputus asa, sentiasa yakin terhadap kebolehannya serta mempunyai keinginan untuk berkongsi kejayaan dengan orang lain.

Menurutnya, mendiang membina jenama Boat Noodle berasaskan kepada semangat, keazaman dan keyakinan yang cukup tinggi meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang perjalanan perniagaan.
Boat Noodle turut menjelaskan prinsip 'Growing Together' bukan sekadar slogan bagi Lim, sebaliknya pegangan diterapkan membangunkan perniagaan serta hubungan bersama pasukan dan rakan seperjuangan.
"Kami turut merakamkan penghargaan kepada semua pelanggan yang pernah menikmati hidangan mereka, berkongsi pengalaman serta menjadi sebahagian daripada perjalanan jenama ini," jelas laman itu.
Tambah Boat Noodle lagi, segala keyakinan, ilmu pengetahuan dan bimbingan yang ditinggalkan Lim akan terus menjadi inspirasi kepada pasukan untuk membawa legasi perniagaan itu lebih ke hadapan.
Kedua-dua jenama berkenaan turut menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan mendiang, sambil berikrar meneruskan impian dan legasi yang dibangunkannya untuk generasi akan datang. - DagangNews.com






