‘Bekalan minyak stabil hingga Mei, langkah alternatif sedang digerakkan’ - PM Anwar

LocalPolitics
27 Mar 2026 • 4:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan para jemaah ketika hadir bagi menunaikan solat Jumaat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong pada Jumaat. Foto Bernama

SHAH ALAM - Malaysia mempunyai jaminan bekalan minyak yang mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei tahun ini, namun kerajaan tidak bergantung kepada jaminan itu semata-mata apabila langkah mencari sumber alternatif telah digerakkan dengan lebih awal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memantau situasi bekalan tenaga setiap hari susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang memberi kesan langsung kepada pasaran global.

“Setakat ini bekalan masih mencukupi hingga Mei, tetapi kita juga sedang cari jalan lain sebagai langkah berjaga-jaga.

“Setakat ini, kekuatan Malaysia terletak pada keupayaan PETRONAS yang memiliki pelaburan meluas di pelbagai rantau dunia.

“Berbeza dengan negara yang bergantung kepada satu sumber, Malaysia mempunyai akses kepada bekalan dari beberapa lokasi strategik termasuk di Brazil, Suriname dan Kanada,” katanya selepas solat Jumaat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Shah Alam di sini, hari ini.

Sehubungan itu menurut Anwar, pendekatan ini membolehkan negara mengimbangi sebarang gangguan dari rantau Teluk yang kini berdepan konflik.

Tambahnya, walaupun keadaan masih terkawal tanpa catuan minyak atau kenaikan mendadak harga RON95, kerajaan mengambil pendekatan proaktif dengan mengadakan mesyuarat khas melibatkan aspek ekonomi dan keselamatan negara.

“Satu pertemuan bersama semua Menteri Besar, Ketua Menteri serta pemimpin politik pelbagai parti akan diadakan bagi menyelaras tindakan secara menyeluruh.

“Keutamaan kerajaan adalah memastikan rakyat tidak terkesan dengan krisis luar, termasuk lonjakan harga dan kekurangan bekalan,” katanya.

Pada Khamis, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian dilaporkan telah membenarkan kapal tangki minyak Malaysia melalui Selat Hormuz.

Menurut Anwar, beliau juga telah menghubungi Pezeshkian dan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi bagi membincangkan ketegangan di Asia Barat. - Awani